Wednesday, August 31, 2011

Dua-dua kaki kena potong

KLANG: Dia mengalami kecacatan apabila kedua-dua kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis dan penglihatannya juga terjejas menyebabkannya tidak boleh lagi bekerja.
Lelaki berusia setengah abad itu juga mengalami penyakit jantung serta buah pinggang dan hanya mampu terlantar di bilik tidur manakala isterinya mengalami gangguan mental sejak setahun lalu.

Itulah nasib dialami Muhammad Suhaimin Sairi, 58, dari Pengkalan Rantau Panjang, di sini. Namun, agak menyedihkan apabila Suhaimin mendakwa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak meluluskan permohonan bantuan untuknya atas alasan dia tidak lagi mempunyai tanggungan. “Saya masih ada isteri untuk ditanggung walaupun isteri mengalami gangguan mental sejak setahun lalu. Saya juga memiliki dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 16 hingga 19 tahun.

“Walaupun mereka sudah bekerja akibat kekangan kemiskinan hingga tak habis sekolah, namun anak-anak masih tinggal dengan saya.

“Saya kecewa apabila JKM tidak meluluskan permohonan bantuan atas alasan saya tidak lagi mempunyai tanggungan,” katanya.

Bagaimanapun, Suhaimin bersyukur sudah memiliki kad pengesahan orang kelainan upaya (OKU) yang membolehkan dia tidak perlu membayar kos perubatan yang tinggi bagi rawatan penyakitnya.


Cuma harapannya, pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang membenarkannya diwakili orang lain untuk mengambil ubat disebabkan kesukaran terpaksa berulang alik ke hospital setiap bulan untuk mengambil ubat dan menjalani pemeriksaan.

Mengimbas kembali, Suhaimin berkata, kakinya dipotong pada 2005 dan 2008 selepas terpijak paku. Saya mencari nafkah sebagai nelayan. Bagaimanapun, saya tidak mampu lagi ke laut selepas kaki dipotong selain dibebani masalah kesihatan yang semakin serius sejak empat tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, semalam, penderitaannya sedikit terubat apabila menerima sumbangan daripada Biro Kebajikan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (Dewanita) yang mengadakan program Kunjungan Kasih.

“Saya bersyukur atas kunjungan Dewanita yang sudi pula memberikan sumbangan supaya kemeriahan Syawal tahun ini lebih terasa,” kata Suhaimin.

Pengerusi Dewanita, Wan Haslinda Wan Yusoff berkata, tujuan utama program Kunjungan Kasih adalah membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk sama-sama merasai kemeriahan Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment