Wednesday, August 24, 2011

Gadis buntu mungkin diusir




Md. Jais Sarday (dua dari kiri) dan Nahid Sultana (dua dari kanan) bersama Shahabuddin Abdul Quddus dan Suraiya Khatoon pada majlis prapelancaran Larian Antarabangsa Kluang, Johor, semalam.



KLUANG 23 Ogos – Seorang gadis yang menetap di negara ini hampir sepanjang hayatnya berdepan risiko diusir dari Malaysia atas arahan Jabatan Imigresen selepas usahanya mendapatkan kewarganegaraan sejak 10 tahun lalu menemui jalan buntu.
Kini tinggal tiga hari sebelum Nahid Sultana Shahabuddin, 29, diarahkan keluar setelah hampir tiga dekad dibawa masuk oleh ibu bapanya, Shahabuddin Abdul Quddus dan Suraiya Khatoon dari Bakhra, India, sejak berusia tiga bulan.
Apa yang menyedihkan, sambutan Hari Raya Aidilfitri kini tidak sampai seminggu dan dia tidak mahu terpisah daripada ibu bapa dan adik-beradik lain yang telah mendapat taraf kewarganegaraan.
“Saya telah mengikuti persekolahan di Malaysia dengan hanya menggunakan pas pelajar dan menduduki semua peperiksaan penting daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehinggalah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya sedih kerana Aidilfitri semakin dekat dan harap permohonan warganegara dapat diluluskan sebelum Syawal menjelma,” kata Nahid Sultana ketika ditemui pada majlis prapelancaran Larian Antarabangsa Kluang anjuran Majlis Perbandaran Kluang di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini dia terpaksa memperbaharui visa setiap tiga hingga enam bulan dan yang terbaru satu hingga dua minggu.
Masalah yang dihadapi Nahid mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday yang bertindak mengutarakannya kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim melalui sepucuk surat bertarikh semalam.
Md. Jais yang ditemui pada majlis sama berkata, permohonan Nahid Sultana telah dibuat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
“Saya memohon agar arahan yang dikeluarkan supaya dia meninggalkan negara ini dibatalkan kerana Nahid Sultana hanya tahu berbahasa Melayu dan menetap di negara ini sejak 29 tahun lalu.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu menyemak semula permohonannya dan memberi taraf kewarganegaraan seperti yang telah diberikan kepada ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain,” katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment