Wednesday, August 24, 2011

Hasrat ibu tunggal tidak kesampaian



Oleh Arifin Salleh

2011/08/24

ALOR GAJAH: Hasrat seorang ibu tunggal untuk menggayakan sepasang baju kurung baru bersama tiga anaknya di pagi raya minggu depan, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, dekat sini, pagi semalam. 

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa, Norlela Noran Kusyairi, 29, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tengah apabila motosikal ditunggangnya dirempuh Perodua Kancil dipandu seorang pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Mohd Helmi Firdaus Hamdan, 20.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa menunggang bersendirian motosikal Honda EX5 itu, dipercayai datang dari arah Kuala Sungai Baru.
“Siasatan awal mendapati, ketika mangsa tiba di satu selekoh di Kampung Permatang, kereta Kancil dipandu Mohd Helmi Firdaus yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh motosikal mangsa. 

“Kenderaan dipandu pelajar berkenaan dipercayai hilang kawalan akibat hujan lebat ketika melalui selekoh terbabit. Akibat rempuhan itu, mangsa terhumban ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, badan dan paha. 

“Mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah selepas solat Zohor hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Umar Ali berkata, pelajar terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Trafik Alor Gajah. 
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian. bharian

No comments:

Post a Comment