Wednesday, August 24, 2011

Pengakuan bekas doktor Hospital Pusrawi

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Seorang bekas doktor Hospital Pusrawi memberitahu Mahkamah Tinggi yang beliau ada menyediakan satu laporan perubatan selepas membuat pemeriksaan terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan sebelum menyerahkannya kepada seorang pegawai hospital tersebut.
Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid, 60, yang berasal dari Myanmar berkata, laporan tersebut yang disediakan dua hari selepas Mohd. Saiful Bukhari datang menemuinya pada 28 Jun 2008, diserahkan kepada pegawai bernama Azlan walaupun pegawai berkenaan bukan penyelianya.
Beliau yang merupakan doktor perubatan pertama ditemui oleh pengadu dalam kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengaku ada membuat satu akuan bersumpah selepas seorang peguam yang hanya dikenali sebagai Yusri datang menemuinya bersama seorang pesuruhjaya sumpah bernama Anuar.
Menjawab soalan semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi pembelaan kedua itu berkata, akuan bersumpah itu dibuat selepas laporan perubatan Mohd. Saiful Bukhari 'bocor' dan beliau kembali ke Myanmar ekoran sangat takut dengan insiden tersebut.
Mohamad Osman juga menjelaskan, beliau menyediakan akuan bersumpah itu setelah menyangka peguam berkenaan mewakili pihak Hospital Pusrawi dan meyakinkan beliau untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah untuk simpanan fail sulit.
Walaupun bersetuju menyediakan laporan perubatan tersebut sekalipun ia bukan prosedur biasa, beliau menafikan sanggup melakukan apa sahaja meskipun tidak mengetahui siapa yang menyuruhnya berbuat demikian.
Beliau juga berulang kali menyatakan bahawa pihak polis tidak pernah menyuruhnya membuat sebarang akuan bersumpah.
Mohamad Osman yang kini bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) dalam keterangannya memberitahu, kemasukan objek plastik ke dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari seperti yang dicatatkan dalam laporan perubatannya, dimaklumkan sendiri oleh pemuda tersebut.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa catatan mengenai 'kemasukan objek plastik' itu ditambah kemudian iaitu hanya selepas pemeriksaan dibuat dan bukannya pada peringkat awal.
''Sekiranya awak bertanyakan mengenai punca kesakitan Mohd. Saiful lebih awal, awak tidak perlu menambah catatan ini? Awak juga tidak pernah bertanya siapa yang memasukkan objek plastik itu?'' tanya Mohd. Yusof yang dijawab 'ya' oleh saksi itu.
Saksi tersebut turut bersetuju bahawa kemasukan objek plastik ke dalam dubur tidak boleh dianggap sebagai liwat seperti ditulis dalam laporan perubatannya.
Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, saksi tersebut berkata, Mohd. Saiful Bukhari datang menemuinya pada 28 Jun 2008 dan mengadu tidak membuang air besar sejak seminggu dan sakit di bahagian dubur.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan dengan menggunakan proktoskop mendapati dubur pengadu dalam keadaan normal dan tiada kesan kecederaan.
''Selepas pemeriksaan tersebut, Mohd. Saiful memberitahu saya bahawa dia telah diliwat oleh seorang VIP (orang kenamaan). Saya sungguh terkejut lalu menasihatinya untuk membuat laporan polis dan mendapatkan pemeriksaan perubatan di hospital kerajaan,'' katanya.
Sementara itu, saksi pembelaan ketiga, pakar forensik, Dr. David Lawrence Wells memberitahu, beliau akan menggunakan alat-alat yang sama digunakan oleh doktor-doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam mengumpulkan sampel-sampel daripada mangsa malah turut menyifatkan alat-alat tersebut memuaskan.
Antara yang ditunjukkan kepadanya contoh putik kapas yang sering digunakan, salah satu bekas plastik yang digunakan untuk menyimpan sampel dan beg plastik yang digunakan untuk menyimpan semua bekas berisi sampel.
Pada 28 Jun 2008, dua orang doktor HKL; pakar bedah am, Dr. Mohd. Razali Ibrahim dan pakar perubatan, Dr. Khairul Nizam Hassan, ditugaskan untuk mengambil sampel daripada tubuh Mohd. Saiful Bukhari manakala pakar patologi forensik HKL, Dr. Siew Sheue Feng bertanggungjawab mengisi borang protokol perubatan (pro-forma).
Menjawab pertanyaan sama ada sesuatu sampel itu boleh disimpan di dalam laci, beliau menyatakan, sampel tersebut boleh dikira 'selamat' selagi ia disimpan secara kedap udara (air dry) atau dibekukan terlebih dahulu.
Wells yang pernah menetap di negara ini sewaktu kanak-kanak kerana bapanya bekerja dengan bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan, walaupun 'terkilan' dengan beberapa aspek dalam laporan perubatan HKL dan borang pro-forma, beliau tidak boleh menyatakan individu-individu yang menyediakan dokumen terbabit sebagai tidak cekap.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-utusan

No comments:

Post a Comment