Tuesday, August 23, 2011

MILF secara rasmi singkirkan Ameril

COTABATO 22 Ogos - Beberapa jam sebelum rundingan damai dengan kerajaan Filipina disambung semula di Kuala Lumpur hari ini, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) secara rasminya menyingkirkan seorang komander kanannya yang menubuhkan kumpulan bersenjata sendiri di selatan Filipina.
Jurucakap MILF, Von Al Haq yang bercakap menerusi telefon dari kubunya di wilayah Maguindanao berkata, MILF tidak akan memberi bantuan jika tentera Filipina melancarkan serangan udara dan darat ke atas Ameril Umbra Kato, ketua Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).
Kata Al Haq, Ameril yang dilihat oleh Manila sebagai ancaman terhadap rundingan damai dengan MILF, digugurkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pusat pertubuhan itu daripada senarai anggota mereka disebabkan keingkarannya.
"Tidak ada lagi kata dua untuk dia kembali ke pangkuan kami dan dia disingkirkan kerana ingkar arahan.
"Kami telah menghantar beberapa utusan termasuk mereka yang lebih kanan daripadanya tetapi tidak mendapat keputusan positif," kata Al Haq.
Timbalan jurucakap Presiden Filipina, Abigail Valte berkata, panel perunding damai kerajaan dijangka membincangkan isu Ameril dengan perunding MILF.
Ameril, lewat 60-an, yang mengetuai 200 hingga 300 anggota BIFF, memutuskan untuk berpecah daripada MILF kerana tidak bersetuju dengan pengendalian proses damai dan kerana MILF didakwa membelakangkannya selepas dia melancarkan serangan besar-besaran pada 2008 berikutan keputusan Mahkamah Agung menolak draf perjanjian damai yang dirangka oleh kerajaan.
Pada Disember lepas, dia mengisytiharkan keluar daripada MILF dan mengumumkan penubuhan BIFF sambil menyeru jihad dilancarkan bagi mendirikan sebuah negara Islam merdeka. - Bernama, utusan

No comments:

Post a Comment