Tuesday, September 6, 2011

1.3 juta haram!

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin di negara ini yang mendaftarkan diri secara sukarela menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pati (Program 6P) disifatkan amat besar dan membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sehingga proses pendaftaran tamat 31 Ogos lalu, seramai 2,320,034 pekerja asing didaftarkan membabitkan 1,016,908 pekerja asing sah dan 1,303,126 pendatang asing tanpa izin.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk pekerja asing yang enggan mendaftarkan diri, pelarian, pembantu rumah dan pekerja asing di Sabah serta Sarawak.

“Jumlah didaftarkan ini amat besar dan tidak dijangka pegawai kami, malah angka ini amat membimbangkan.

“Ini menunjukkan satu keadaan yang begitu serius dan jika program ini tidak dilaksanakan, sampai kiamat pun tidak tahu jumlah sebenar pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin yang berada di negara ini.

“Kami juga menjangkakan jumlah pekerja asing di negara ini lebih besar selepas lima lagi proses iaitu pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran tamat hujung tahun ini,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pengarah Imigresen Negeri di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Dasar dan Imigresen KDN, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Hishammuddin berkata, jumlah pendatang asing tanpa izin dari Indonesia adalah tertinggi iaitu 640,609 berbanding pekerja sah, 405,312; diikuti Bangladesh, 267,803 (pendatang asing) dan 132,897 (pekerja sah); Nepal seramai 33,437 (Pati) dan 221,617 (pekerja sah) manakala Myanmar adalah 144,098 (pendatang asing) dan 113,485 (pekerja sah).
Katanya, sepanjang tempoh pendaftaran bermula 1 Ogos lalu, 78 peratus pendatang asing tanpa izin memilih mendaftar dengan syarikat pengurus yang dilantik, manakala 22 peratus lagi menerusi pejabat imigresen seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan ‘post mortem’ dan menyiapkan laporan lengkap berhubung fasa pertama Program 6P sebelum dikemukakan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-pendatang asing tanpa izin) minggu depan.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan menentukan tarikh pelaksanaan fasa seterusnya iaitu pemutihan akan dimulakan.

“Selain itu, penetapan mengenai dasar berhubung beberapa perkara penting untuk pelaksanaan proses pemutihan seperti definisi kadar keperluan sesuatu syarikat, jenis pekerjaan, majikan yang dibenarkan menggunapakai pekerja asing dan kesesuaian negara asal pekerja asing untuk diambil bekerja dalam sesuatu sub sektor.

“Malah, tindakan terhadap pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin yang belum mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan juga akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment