Tuesday, September 6, 2011

Derita warga tua di teratak usang


DAUD Salleh merenung sayu nasibnya sambil diperhatikan cucunya, Farah Natasha Halim (kanan) di rumah daif mereka di Kampung Gong Pak Jing, Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/ Azlan Bahrum




KUALA TERENGGANU 5 Sept. – Sudah setahun, Daud Salleh, 77, kematian isteri, Salamah Ibrahim, 77, akibat sakit tua.
Ketika kesedihan dek kehilangan isteri belum reda, Daud terus dirundung malang bertimpa apabila terpaksa menjaga cucu-cucunya yang terdiri daripada empat beradik.
Empat beradik itu ialah Solehah Razali, 19; Normala, 17; Mohd. Mazlan, 15; serta seorang adik berlainan bapa, Farah Natasya Abdul Halim, 11.
Pada masa ini, hanya Farah Natasha yang ‘setia’ tinggal di teratak usang milik Daud di Kampung Gong Pak Jing dekat sini sedangkan Solehah, Normala dan Mohd. Mazlan sering keluar rumah.
Malah, ketika ini juga Farah Natasya yang masih bersekolah di tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelang dekat sini manakala dua kakak serta seorang abangnya terpaksa berhenti sekolah kerana kesempitan hidup.
Menurut Daud, kebanyakan masa, hanya dia dan Farah Natasya yang tinggal di rumah itu manakala tiga yang lain dengan urusan masing-masing.
Dia memberitahu, cucu sulungnya, Solehah sudah lebih tiga bulan keluar dari rumah dan sehingga sekarang tidak pulang-pulang.
“Begitu juga dengan Normala, dia mungkin tinggal menumpang di rumah keluarga angkatnya manakala Mohd. Mazlan pula, kalau dia rasa nak pulang, dia pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, baru-baru ini.
Daud mengakui kehidupannya bersama cucu umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan atas kesulitan itu, dia amat mengharapkan bantuan ikhlas daripada mana-mana pihak yang prihatin.
Katanya, biarpun mendapat bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia tidak cukup untuk menampung segala keperluannya sekeluarga.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri lalu, Daud berkata, dia tidak membuat sebarang persediaan apatah lagi pertama kali dia menyambut hari raya tanpa isteri.
“Sebenarnya, saya dan cucu dah biasa dengan keadaan ini, raya atau tak raya sama sahaja,” katanya.
Daud yang sudah 30 tahun tinggal di situ bagaimanapun tetap mengharapkan keprihatinan pihak kerajaan agar membantu meringankan nasibnya sekeluarga termasuk menyediakan kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

No comments:

Post a Comment