Tuesday, September 6, 2011

Pil tidur bukan cara ‘tutup mata’


PENDUDUK UAE menghabiskan masa awal pagi di kompleks beli-belah pada hari  raya kedua, 1 September lalu.
PENDUDUK UAE menghabiskan masa awal pagi
 di kompleks beli-belah pada hari raya kedua, 1 September lalu.


Doktor gusar ramai sukar lelap selepas Ramadan ambil ubat berlebihan

JEDDAH: Beberapa doktor pakar memberi amaran terhadap pengambilan pil tidur untuk mengatasi masalah sukar untuk tidur atau insomnia selepas bulan Ramadan.
Mereka berkata, kesukaran untuk tidur adalah disebabkan pertukaran tabiat tidur sepanjang Ramadan kerana ramai yang berjaga sepanjang malam dan tidur sepanjang siang.
Akhbar Arabnews melaporkan, doktor memberi amaran terutama kepada pelajar dan pekerja terhadap bahaya mengambil pil tidur hingga biasa mengambilnya untuk tidur.

Mereka berkata, pil tidur dan sedatif tidak boleh diambil tanpa arahan pakar perubatan kerana mempunyai kesan sampingan yang berbahaya.

Perunding perubatan keluarga Arab Saudi, Dr Nahla Ismail berkata pil tidur sangat berbahaya kepada lelaki dan dan wanita muda begitu juga ibu yang bekerja.

“Pengambilan pil tidur secara berlebihan akan menyebabkan seseorang ada masalah hati selain memberi kesan buruk kepada saraf,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa penggunaan pil tidur juga boleh membawa kepada gangguan mental dan menjurus kepada ketagihan.

Pakar perubatan dalaman, Dr Abdul Aziz Abdullah pula memberitahu, ada peraturan dan undang-undang yang menghalang pembelian pil tidur tanpa arahan doktor.

Bagaimanapun, ada di kalangan orang ramai yang cuba menggunakan ubat lain kerana ia juga memberi kesan mengantuk seperti ubat batuk, alahan atau selesema.

Berikutan itu, beliau menyelar farmasi yang menjual ubat itu tanpa sebarang arahan doktor dan berpendapat cara terbaik membantu mereka kembali kepada tabiat tidur yang normal secara berterusan dan tidak bimbang mengenai berjaga lebih lama di waktu malam.

Bercakap kepada Arabnews, sejumlah ahli farmasi menafikan mereka menjual pil tidur tanpa arahan doktor tetapi mengakui permintaan untuk ubat batuk meningkat sejak beberapa hari lalu.

Pakar psikiatri, Youssef Ibrahim, berkata banyak pendekatan yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk memulihkan tabiat tidur yang normal.

“Makan salad, aprikot dan susu akan mengurangkan tekanan dan membantu mereka yang mengalami masalah tidur,” tambah Ibrahim. Beliau menasihatkan orang ramai untuk merebus dan minum air pudina sebelum tidur. – Agensi 

No comments:

Post a Comment