Monday, September 12, 2011

Filipina bunuh 3 anggota Abu Sayyaf

ZAMBOANGA: Tentera Filipina semalam menembak mati tiga anggota pelampau yang ada hubungan dengan Al-Qaeda.
Ia berlaku dalam pertempuran di Pulau Basilan, selatan Filipina.

Pertempuran dengan anggota Abu Sayyaf, militan tempatan di pulau ini menjadi bukti usaha berterusan pihak berkuasa negara itu memerangi keganasan walaupun 10 tahun selepas peristiwa 9/11, kata jurucakap tentera, Kolonel Alexander Macario.

“Ini menunjukkan kami tidak pernah berhenti daripada memerangi keganasan di negara ini,” katanya.

Dalam kejadian semalam, pasukan khas antikeganasan Filipina menjejaki militan Abu Sayyaf dan membunuh tiga anggota kumpulan itu serta memaksa yang lain melarikan diri.

Menurut Macario, kumpulan yang terbabit dalam pertempuran dengan tentera itu mempunyai kaitan dengan beberapa siri penculikan di selatan negara itu sejak beberapa tahun lalu.


Antara mangsa mereka ialah aktivis keamanan Sri Lanka yang diculik pada 2009.

Abu Sayyaf ialah kumpulan militan kecil yang diasaskan pada 1990 dengan pembiayaan al-Qaeda dan didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan terburuk di negara itu, termasuk pengeboman sebuah feri yang meragut lebih 100 nyawa pada 2004. - AP

No comments:

Post a Comment