Monday, September 12, 2011

Israel pindah diplomat di Mesir





2011/09/12

KAHERAH: Israel berdepan krisis terburuk dengan Mesir dalam tempoh 30 tahun selepas terpaksa memindahkan diplomat dan keluarga mereka ke tempat selamat ketika kedutaan rejim Zionis itu di Kaherah diserang penduduk tempatan. 

Kepungan terhadap kedutaan berakhir dengan 86 warga Israel dipindahkan selepas campur tangan Rumah Putih berikutan panggilan telefon antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Serangan itu ialah krisis diplomatik terbaru menyelubungi kerajaan Yahudi itu, yang sedia berdepan masalah ketegangan dengan Turki sejak sembilan hari lalu.
Israel turut berdepan tsunami diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat bulan ini apabila majoriti negara dijangka menyokong pengiktirafan negara merdeka Palestin. 

Serangan ke atas kedutaan, yang menyaksikan pagar keselamatan dimusnahkan dan sekumpulan penunjuk perasaan masuk ke pintu kawasan selamat bangunan berkenaan, akan menjejaskan dengan teruk kepada hubungan aman kedua-dua negara, kata Netanyahu. 

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan besar ke atas amalan diplomatik yang diterima. 

Netanyahu bermalam di bilik operasi Kementerian Luar yang menangani krisis itu. Lapan diplomat dan keluarga mereka dipindahkan dengan pesawat tentera Israel tetapi enam lagi kakitangan terperangkap di dalam bangunan. 
Ada satu pintu memisahkan mereka daripada penunjuk perasaan, kata pegawai, yang menggambarkan malam berkenaan sebagai amat dramatik dan tegang. 

Bagaimanapun, keenam-enam yang terperangkap itu berjaya diselamatkan komando Mesir selepas campur tangan Amerika. 

Obama bercakap dengan Netanyahu pada malam berkenaan, kata Rumah Putih. Beliau turut merayu Mesir untuk menghormati kewajipan antarabangsa. 

Perdana Menteri Britain, David Cameron, turut mengutuk serangan itu dan mendesak Kaherah mematuhi tanggungjawabnya menurut Konvensyen Vienna untuk melindungi kakitangan dan harta diplomatik. 

Tiga maut ketika bantahan itu di Kaherah dan sekurang-kurangnya 1,093 cedera, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Mesir. 

Sentimen anti-Israel di Mesir memuncak sejak pembunuhan lima tentera negara itu oleh tentera Israel berikutan serangan militan bulan lalu berhampiran sempadan kedua-dua negara yang meragut nyawa lapan penduduk Israel. 

Beribu-ribu penduduk menyerbu Kedutaan Israel di Kaherah, dan rejim Zionis itu terpaksa mengeluarkan isu menyatakan kekesalan mereka di atas kejadian berkenaan dengan harapan ia dapat membendung kebencian rakyat Mesir. 

Israel bimbang dengan masa depan perjanjian damainya dengan Mesir, yang ditandatangani 30 tahun lalu, sejak sekutu kuatnya, bekas Presiden Hosni Mubarak, ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun ini. 

Kerajaan Yahudi itu juga risau dengan ketegangan hubungannya dengan Turki, terutama dengan lawatan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, ke Kaherah di tengah kebimbangan dia akan membentuk pakatan anti-Israel dengan kerajaan baru Mesir. Agensi 

No comments:

Post a Comment