Saturday, September 24, 2011

Jalan memang rosak teruk!

Penduduk bantah salah guna kuasa 

PULAU SAYAK – Penduduk Kampung Pulau Sayak mengadakan protes aman berkaitan kemudahan jalan raya yang rosak tanpa penyelenggaraan bermula dari pekan Kota Kuala Muda ke Pulau Sayak, Pantai Merdeka ke Kota Kuala Muda dan laluan dari pekan Kota Kuala Muda ke perkampungan tsunami.

Protes yang diketuai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Kebajikan dan Sosial Kuala Muda dan Pertubuhan Masyarakat Sejahtera dan Harmoni Kuala Muda Kedah serta penduduk sekitar berhimpun secara aman di Kampung Pulau Sayak jam 11 pagi dengan sepanduk masing-masing.

Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim berkata, protes dilakukan berkaitan salah guna kuasa Kerajaan Negeri di mana peruntukan sebanyak RM130 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina jalan tidak digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, peruntukan yang diberikan pada 2010 itu hanya membelanjakan RM50 juta manakala yang selebihnya tidak dapat dikenal pasti ke mana penggunaannya.

“Sementara itu, pada 2011, sebanyak RM147 juta diberikan kepada Kerajaan Negeri namun hanya RM54 juta sahaja digunakan dan kita tidak tahu ke mana lebihan peruntukan sama ada masuk dalam tabung atau pergi ke tempat lain,” katanya kepada media semalam.

Beliau juga kesal dengan kemudahan jalan raya yang masih belum dilakukan penyelenggaraan terutama yang menjadi kemudahan kepada penduduk Kota Kuala Muda, Kampung Pulau Sayak dan sebagainya.

Menurutnya, kebanyakan jalan rosak adalah laluan pelancong untuk ke lokasi pelancongan termasuk Pantai Merdeka, Pulau Sayak dan perkampungan tsunami.

“Keadaan jalan berlubang ini boleh menjatuhkan imej daerah Kuala Muda sebagai sebuah daerah pelancongan di negeri Kedah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pulau Sayak, Abdul Kadib Ali berkata, keadaan jalan berlubang pernah menjadi faktor dua penduduk kampung kemalangan dan menemui ajal di Kubang Jambu dan Simpang Kota.

“Jalan berlubang ini bahaya kepada pengguna jalan raya selain boleh menjadi faktor kemalangan maut di mana dalam kawasan Dun Pantai Merdeka, terdapat kira-kira 5,000 penduduk yang berulang alik menggunakan jalan ini.

“Kita juga mahukan penjelasan daripada Kerajaan Negeri berhubung isu wang yang diberikan Kerajaan Pusat tidak digunakan sepenuhnya sebaliknya digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Penduduk, Alias Fadzil, 52, berkata, keadaan jalan berlubang menyukarkan pergerakan terutama kepada orang luar yang datang ke kampung untuk menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

No comments:

Post a Comment