Saturday, September 24, 2011

Laporan Malaysian Chronicle tidak beretika



KUALA LUMPUR 23 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyifatkan laporan yang dikeluarkan laman web Malaysian Chronicle berhubung status penduduk tetap (PR) kepada pekerja warganegara Bangladesh adalah sebagai tidak bertanggungjawab dan dilakukan tanpa fakta yang sahih.
Katanya, laporan bersifat tuduhan liar itu merupakan satu perbuatan tidak profesional serta beretika dan ia perlu dihentikan segera kerana mampu memberi kesan kepada soal keselamatan dan ketenteraman awam.
"Tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ternyata ia sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti, imej dan kedudukan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Apa yang dilaporkan oleh Malaysian Chronicle itu ternyata salah kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen sendiri memberi kenyataan. Malah, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh turut menyatakan laporan itu palsu dan tidak berasas.
"Laporan media alternatif ini ternyata tidak bertanggungjawab malah mereka juga tidak mengeluarkan kenyataan maaf. Oleh itu menjadi tanggungjawab media arus perdana untuk memperbetulkan kembali dengan fakta yang lebih tepat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka KDN di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Malaysian Chronicle baru-baru ini mendakwa status penduduk tetap (PR) ditawarkan kepada pekerja warganegara Bangladesh untuk didaftarkan sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan bagaimana laman web terbabit memperoleh maklumat sedemikian yang ternyata salah, lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Tinggi Bangladesh sendiri menafikan perkara tersebut.
Sementara itu, ditanya tentang tindakan yang akan diambil ke atas Malaysian Chronicle, beliau berkata, KDN tidak berhasrat untuk menuntut permohonan maaf sebaliknya mahu laman web itu memperbetulkan kembali laporan seumpama itu.
"Kredibiliti laman web itu akan terjejas jika laporan seperti itu tidak diperbetulkan kerana ia menipu kalangan pembaca. Kita juga akan menunggu dan lihat untuk sebarang tindakan lanjut," katanya.

No comments:

Post a Comment