Thursday, September 22, 2011

Mat Sabu didakwa tohmah polis




MOHAMAD SABU (tengah) diiring penyokongnya selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam.


BUTTERWORTH – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, dekat sini bulan lalu.
Mohamad Sabu atau Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan berdepan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama. Dia minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin.
Mat Sabu didakwa memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950.
Kesalahan itu dilakukan dalam ucapan di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas di Padang Menora di antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam 21 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan pilihan, beliau didakwa memfitnah Konstabel Marin Abu Bakar Daud; Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi semua pertuduhan itu.
Pertuduhan dilakukan selepas tiga waris anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff membuat laporan.
Ikmal Hishan membenarkan Mat Sabu diikat jamin sebanyak RM15,000 selepas mendengar hujahan tiga Timbalan Pendakwa Raya diketuai Mohamad Hanafiah Zakaria serta peguam bela, Hanafiah Maidin dan Aminuddin Zulkifli yang mewakili pemimpin Pas itu.
Ikmal Hishan kemudian menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan 5 hingga 9 Disember depan untuk bicara.

No comments:

Post a Comment