BUTTERWORTH 21 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, 21 Ogos lalu.
Mohamad atau Mat Sabu dipercayai ahli politik pertama yang didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat tohmahan terhadap anggota polis dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah yang berlaku lebih 60 tahun lalu di Johor.
Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin, Mohamad didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis, Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam peristiwa tersebut, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mohamad yang berbaju T hijau, berseluar hitam dan berjaket biru kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan mengangguk tanda faham atas pertuduhan tersebut.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Mohamad Hanafiah Zakaria bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Suhaimi Ibrahim manakala Mohamad diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli.
Mohamad Hanafiah memohon agar Mohamad diikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan namun jumlah itu dibantah oleh Mohamed Hanipa yang menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes sementara perbicaraan dijadualkan dari 5 hingga 9 Disember depan.
Mohamad dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin pada pukul 12 tengah hari.
Ahli politik parti pembangkang itu ditahan petang semalam setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas beliau menyerah diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.
Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada malam tadi setelah percakapannya dirakam.
Memetik laporan akhbar hari ini, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya menerima 1,013 laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamad termasuk oleh anggota keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong itu.
Mohamad dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 ialah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.
Mat Sabu menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan meluas pihak media.
No comments:
Post a Comment