Thursday, September 22, 2011

Mekanik lumpuh ditembak polis, dapat ganti rugi RM900,000



KUALA LUMPUR 21 Sept. - Seorang lelaki yang lumpuh akibat ditembak polis tujuh tahun lalu, hari ini berjaya dalam tuntutan samannya apabila Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM900,000 kepadanya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid memerintahkan Lans Koperal Nadzri Ahmad dan Ketua Polis Negara (KPN) membayar jumlah tersebut kepada Johari Kasman, 28.
Ia merangkumi kos beg kencing, lampin pakai buang, kos penjagaan, kos kehilangan pendapatan, ganti rugi am dan tambang ulang alik ke hospital sepanjang lelaki itu mendapatkan rawatan.
Siti Khadijah dalam penghakimannya berpendapat, Nadzri telah menyalah guna kuasanya ketika melepaskan tembakan terhadap Johari selain terdapat percanggahan antara keterangan pakar dan afidavit pembelaan berhubung jarak tembakan dilepaskan.
Menurut beliau, Nadzri yang dinamakan sebagai defendan pertama ketika kejadian berpakaian preman telah menahan plaintif disebabkan kelakuannya yang didakwa mencurigakan.
Plaintif bagaimanapun enggan berhenti hinggakan berlaku pergelutan.
Namun begitu, kata Siti Khadijah, defendan pertama tidak melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja malah membawa plaintif ke hospital.
''Defendan pertama telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Berat mata memandang, berat lagi memikul tanggungjawab. Plaintif mempunyai empat rekod jenayah lampau yang kesemuanya kesalahan mencuri kenderaan,'' kata Siti Khadijah.

No comments:

Post a Comment