Saturday, December 24, 2011

Suu Kyi daftar parti


SUU Kyi menerima cederamata daripada Shwe Mann selepas pertemuan mereka di pejabat Dewan Rakyat (kiri) di Naypyidaw semalam.
SUU Kyi menerima cederamata daripada Shwe Mann selepas pertemuan mereka di pejabat Dewan Rakyat (kiri) di Naypyidaw semalam.


Ikon demokrasi buat persiapan kembali arena politik

NAYPYIDAW: Tokoh demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi mendaftarkan parti pembangkangnya dan melawat parlimen buat kali pertama semalam, sebagai persiapan untuk menyertai arena politik negaranya.
Dalam lawatan ke ibu negara Naypyidaw, tokoh demokrasi itu turut menemui Speaker Dewan Rendah Thura Shwe Mann, orang nombor tiga dalam pemerintah junta sebelum ini dan masih seorang daripada pemimpin paling berkuasa di Myanmar. Malah, Shwe turut melahirkan kegembiraan dapat berbincang.
“Kami bekerjasama untuk mengukuhkan perpaduan,” katanya kepada wartawan.

Terdahulu, Suu Kyi, 66, mengunjung pejabat Suruhanjaya Pemilihan Kesatuan untuk mendaftarkan partinya Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), yang memerlukan sekurang-kurang seminggu untuk secara rasmi diluluskan.

“Mereka sudah menandatangani pendaftaran parti,” kata pegawai suruhanjaya memberitahu AFP merujuk kepada Suu Kyi dan beberapa anggota kanan parti.

NLD diberi lampu hijau daripada pihak berkuasa bulan ini untuk menyertai parti arus perdana, memberikan laluan kepada pemenang anugerah Nobel Keamanan untuk bertanding merebut kerusi dalam parlimen baru.
Speaker Dewan Tinggi, Khin Aung Myint, yang turut menemui Suu Kyi pada Jumaat menggambarkan kunjungan itu sebagai bertuah.

“Kami mahu pertemuan ini berlaku sejak sekian lama dan kami mengalu-alukannya,”.

NLD dilucutkan statusnya daripada parti politik yang sah oleh junta tahun lalu selepas ia memilih untuk memboikot pilihan raya yang kontroversi dan menyifatkan peraturannya tidak adil.

Suu Kyi dibebaskan beberapa hari selepas pilihan raya November, menghabiskan hampir dua dekad dalam tahanan dan bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil yang dijangka awal tahun depan walaupun belum ada tarikh pilihan raya ditetapkan.

Sejak mengambil kuasa pada Mac, kerajaan baru yang disokong tentera didominasi bekas jeneral melaksanakan beberapa siri perubahan yang bertujuan mendapatkan sokongan pembangkang dan Barat.

Ini termasuk membebaskan beberapa tahanan politik, menggantung projek empangan mega yang tidak popular dan mengadakan rundingan damai dengan kumpulan etnik bersenjata.

Awal bulan ini, Suu Kyi melahirkan harapan yang demokrasi bakal tiba di Myanmar, semasa beliau menerima kunjungan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton di rumahnya di Yangon yang menjadi tempat tahanannya sejak bertahun.

NLD memenangi pilihan raya pada 1990 dengan majoriti sementara Suu Kyi masih berada dalam tahanan rumah tetapi jeneral pemerintah tidak pernah membenarkan parti itu mengambil kuasa. – AFP Berita Harian Online | Suu Kyi daftar parti:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment