Thursday, January 26, 2012

Anak dedah isi perjanjian Felda Global-MB



KUALA LUMPUR - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendedahkan isi perjanjian yang dibuat antara Felda Global Ventures Holdings (FGVH) bersama Felda Holdings untuk ditandatangani oleh Menteri Besar di setiap negeri yang antara lainnya bertujuan untuk pajakan tanah peneroka.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pendedahan dibuat berikutan suara mereka sebelum ini tidak diendahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Anak menyarankan supaya mempertimbangkan semula usaha penyenaraian FGHV di Bursa Malaysia.

Tegasnya, penyenaraian tersebut tidak menguntungkan warga Felda sebaliknya akan memberi keuntungan kepada mereka yang berkepentingan.

"Perbincangan seolah-olah ditutup oleh pihak kerajaan dan mereka seolah-olah bersungguh-sungguh nak membuat penyenaraian yang bagi kami ini sesuatu yang tak boleh diterima sama sekali.

“Jadi memandangkan kami telah memberi masa secukupnya pada kerajaan untuk timbang pandangan kami,  maka kami akan membuat pendedahan mengenai apakah sebenarnya agenda di sebalik penyenaraian ini," katanya pada satu sidang media hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Najib meminta peneroka Felda supaya tidak percaya dengan hasutan pihak pembangkang kononnya cadangan kerajaan menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia akan merugikan peneroka tanah rancangan itu.

Perdana Menteri berkata, peneroka tidak perlu berasa bimbang dan jangan percaya dengan hasutan pihak pembangkang yang mengatakan bahawa penyenaraian itu akan merugikan mereka.

"Jangan bimbang kerana ia tidak merugikan tetapi memberi keuntungan besar kepada penduduk Felda.

"Itu semua hasutan dan mainan politik... mereka (pembangkang) gusar kita mampu buat macam-macam sebab ia akan dapat sambutan masyarakat Felda," katanya.

Selain itu, Mazlan menegaskan, perjanjian itu juga meliputi kawasan seluas 360,067 hektar tanah Felda yang diurus oleh Felda Plantations Sdn Bhd (FPSB) yang akan diberi kepada FGHV.

"Felda kini tidak ada apa-apa kekuatan lagi. Peranan Felda hanya sebagai simbol dan patung kerana segala urus niaga kini ditentukan oleh FGVH. Bahkan dalam perjanjian ini ada ditulis supaya Felda memberi keistimewaan kepada FGHV dengan memberi 'kenikmatan sentosa' kepada mereka. Begitu tinggi martabat mereka.

"Jika Perdana Menteri, (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Ahmad Maslan dan ( Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPFB) Tan Sri Isa Samad anggap kami pengkhianat kerana mendedahkan perjanjian ini, kami (Anak) bersedia untuk menghadapi risiko dan akan sahut cabaran. Tujuan kita tampilkan perjanjian ini kerana ia adalah institusi terpenting orang Melayu," tegasnya.

No comments:

Post a Comment