Thursday, January 26, 2012

Forum seks Kelab Taat Suami kena serbu


ANGGOTA penguat kuasa JAIP menanggalkan poster yang dipamerkan pada Pelancaran Kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam oleh Kelab Taat Suami (KTS) di Ipoh, semalam. - Foto Ikhwan Munir
IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), semalam menyerbu sebuah banglo di sini yang dijadikan lokasi forum kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam oleh Kelab Taat Suami (KTS) yang didakwa dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Ketika serbuan, kira-kira 50 ahli KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd, iaitu syarikat yang ditubuhkan oleh bekas ahli kumpulan haram al-Arqam, tergamam apabila sepasukan anggota penguatkuasa JAIPk menyerbu mereka.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.15 petang di kawasan perumahan mewah di Persiaran Harimau itu, 10 anggota penguatkuasa JAIPk yang menaiki dua van merampas komputer riba dan poster berkaitan kempen berkenaan serta mengambil keterangan daripada peserta.
Pengarah JAIPk, Mohd Yusop Husin, ketika dihubungi malam tadi mengesahkan serbuan itu dan pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Namun, serbuan dipercayai ada kaitan dengan kempen yang dikatakan merendahkan kedudukan Nabi Muhammad SAW, selain mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam.

Siasatan juga bagi menentukan kegiatan kumpulan itu ada unsur-unsur Aurad Muhammadiyah kerana keseluruhan ahli KTS dan syarikat terbabit adalah bekas ahli al-Arqam, selain ada gambar besar pengasas kumpulan itu, Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia dalam premis berkenaan.

Sementara itu, KTS menjemput wartawan untuk menghadiri persidangan media mengenai program yang pada mulanya dijadualkan pada waktu pagi tetapi ditunda waktu petang. Namun, sesi berkenaan bertukar kepada sesi soal jawab bersama Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd, Ahmad Bakhtiar Ahmad dan Hamdan serta empat ahli KTS Perak.
Ahmad Bakhtiar berkata, kempen itu bermula semalam sempena 1 Rabiulawal dengan acara kemuncaknya ketika sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari yang bertujuan menampilkan Rasulullah sebagai tokoh hebat yang perlu dicontohi dalam semua aspek, termasuk kemampuannya memuaskan hati semua 11 isterinya.

Beliau berkata, kempen yang bermula serentak di sini, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu juga mahu menghebahkan bahawa seks dalam Islam lebih hebat daripada seks yang dicanangkan oleh masyarakat Barat dan Yahudi.

"Seks suci Islam harus dibezakan dengan seks haram yang dipelopori Barat dan Yahudi. Nabi (Muhammad) adalah insan yang sangat takut kepada Tuhan, jadi Allah bagi keistimewaan diberi tenaga manusia yang kuat dalam seks dan memberi layanan terbaik kepada isteri sebagai balasan kuat ibadat kepada Allah,” katanya.

"Jadi, kempen ini sebenarnya untuk menaikkan darjat Nabi sehingga ke taraf `superhero' dan menjadi contoh umat manusia, bukannya untuk merendahkan kedudukan baginda," katanya.

No comments:

Post a Comment