January 26, 2012
SHAH ALAM – Seorang ahli akademik berpandangan bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bukan satu isu dominan untuk diperdebatkan, sebaliknya negara mempunyai isu-isu lebih besar untuk diperhalusi khususnya berkaitan dengan hutang domestik.
Pemangku Presiden dan Naib Censelor Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Dr Anuar Ahmad berkata, hutang domestik adalah isu sebenar yang perlu dibincangkan berbanding polemik mengenai kerelevanan Auku.
Menurut Anuar, hutang domestik ini termasuklah hutang pinjaman perumahan, kereta dan mungkin juga termasuk hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, berdasarkan makluman di Parlimen tiga bulan lepas, hutang negara kini sudah melebih RM700 bilion iaitu 60 peratus hutang dalam bentuk pinjaman perumahan, 30 peratus pinjaman kereta dan 10 peratus lagi pinjaman peribadi.
“Apabila seseorang itu berhutang, dia akan menjadi hamba kepada pemberi hutang dan jika dia tidak mampu membayar balik hutang itu, hidupnya akan diselubungi ketakutan serta berubah menjadi kurang inovatif.
“Mereka juga khuatir, jika mereka melawan, mereka akan risau kenderaan mereka akan ditarik atau rumah mereka akan disita,” kata salah seorang ahli panel ini yang menjayakan Wacana Sinar Siri ke-10 bertajuk "Masih Relevankah Auku?"
Menurut Anuar, jika dibandingkan dengan negara jiran, Thailand, Malaysia jauh ketinggalan daripada segi kebajikan pendidikan rakyatnya.
Katanya, Thailand memperuntukkan 27 peratus bajet untuk pendidikan rakyatnya sedangkan Malaysia memperuntukkan bajet kurang daripada 15 peratus.
“Bangkok sahaja memperuntukkan 28.1 peratus bajet pendidikan untuk penduduk bandar raya itu, mengapa tidak Kuala Lumpur atau Shah Alam, cuba dengan memperuntukkan 10 peratus dahulu untuk penduduknya.
“Malaysia kaya dengan hasil bumi dan laut di mana banyak keuntungan boleh didapati daripadanya, tetapi mengapa tidak memberikan sahaja pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat tadika hingga ke universiti?
Sehubungan itu, Anuar menyarankan adalah penting untuk mengkaji sesuatu isu itu secara mendalam sebagai usaha membentuk insan yang holistik tetapi dalam masa sama tidak boleh lari dari isu yang penting.
Beliau juga percaya politik harus difahami secara ‘prudential’ atau meletakkan sesuatu nilai pada tempatnya.
No comments:
Post a Comment