Tuesday, January 10, 2012

Bob Lokman akhirnya hadir beri keterangan di pejabat JAIP



Bob Lokman ditemani penyokongnya hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan, semalam.


KUANTAN 9 Jan. - Pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu, Mohd. Hakim Lokman, 47, atau Bob Lokman akhirnya hadir memberi keterangan di pejabat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini hari ini berhubung kes mengadakan ceramah tanpa tauliah di sebuah masjid pada 24 Disember lalu.

Beliau yang disiasat mengikut Seksyen 161 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah memberi keterangan selama sejam bermula pukul 10.45 pagi sambil ditemani peguamnya, Mohd. Fadzli Ramli.

Mohd. Fadzli ketika ditemui berkata, dia mempertikaikan tindakan JAIP menyiasat kes itu mengikut Seksyen 161 enakmen tersebut kerana disifatkan tidak berasas.

“Bob Lokman tidak memberi ceramah agama, tetapi dia menceritakan pengalaman peribadinya yang berubah menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada 24 Disember lalu, pelakon tersebut diberi notis oleh JAIP atas kesalahan memberi ceramah tanpa tauliah di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini, selepas solat maghrib.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek mengesahkan menerima keterangan daripada Bob Lokman.

Katanya, beberapa individu lain termasuk ahli jawatankuasa masjid berkenaan juga akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Apabila selesai siasatan, perkara ini akan diserahkan kepada pihak pendakwaan sebelum memutuskan untuk mendakwanya (Bob Lokman) di Mahkamah Syariah ataupun tidak,” katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment