Fayyad Afiq Albakqry

SEBERANG JAYA – Keadaan pengawal peribadi Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Fayyadh Afiq Albakry, 26, yang mendakwa telapak tangan kirinya dicucuk jarum kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, hasil pemeriksaan pasukan perubatan ke atas mangsa mendapati tiada tanda-tanda dia diracuni, atau disuntik dengan dadah jenis Morphin, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Malah menurutnya, keadaan mangsa normal dan kecederaan yang dialami tidak mendatangkan kesan kepada mana-mana organ dalam badannya.

“Pihak hospital telah pun memberikan rawatan kepada mangsa (Fayyadh), dan dia masih dirawat dihospital untuk pemerhatian.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan calaran sepanjang 0.4 sentimeter yang berpunca daripada objek tajam, dan setakat ini ia tidak memberikan kesan pada mana-mana bahagian organ badan mangsa. Mangsa juga tidak pengsan, sebaliknya hanya mengalami pening-pening dan kebas tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.

Ayub dalam pada itu berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes khas dan satu pasukan perubatan ditubuhkan terdiri daripada Pakar Perunding Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Zahari Noor, Pakar Perubatan Dalaman HSJ, Dr Teoh Goik Lee dan Pengarah HSJ, Dr Azlina Mohd Radzi bagi menyiasat kes berkenaan.

Katanya, pihak hospital turut mengambil sampel darah mangsa untuk diuji bagi memastikan kandungannya dan keputusan mengenainya dijangka diketahui esok.

Justeru, sementara menanti keputusan itu beliau meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Kita telah pun mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi. Sementara menanti keputusan ujian, saya harap jangan buat spekulasi kerana mangsa sendiri pun tidak pasti siapa dan bagaimana ia terjadi. Kita akan temu bual mangsa lagi selepas ini untuk mendapatkan keterangan.

"Sesiapa yang ada maklumat juga diminta tampil ke hadapan,” katanya.