Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

SHAH ALAM – Tiada guna menukar nama sambutan Hari Kekasih kepada Hari Suami Isteri, jika ia tidak memberi kesan yang baik kepada budaya umat Islam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, penukaran nama itu tidak penting. Yang utama adalah pengisian sambutan tersebut.

“Kalau kita ubah nama itu boleh memberi perubahan baik kepada Islam, baguslah, tetapi jika tidak memberi apa-apa kesan, untuk apa diubah?,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Hari Suami Isteri boleh diraikan pada bila-bila masa dan nilai budaya Islam perlu dipertahankan.

Katanya, tarikh 14 Februari itu semakin menjadi ingatan ramai, apabila dimeriahkan oleh peniaga.

“Mereka ambil kesempatan menjual bunga dan cenderahati di merata tempat,” katanya.

Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia itu berkata, tarikh itu tidak memberi apa-apa makna jika hari itu disambut dengan perbuatan yang tidak bermoral.

Minggu lalu, Pas Kelantan mencadangkan Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari, diganti kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, adalah lebih elok jika Hari Kekasih atau Valentine Day, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

Sementara itu, penceramah bebas, yang juga Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, adalah lebih baik mengembangkan budaya sendiri daripada menyanjung budaya orang lain.

“Cadangan Hari Suami Isteri itu baik, cuma tarikh 14 Februari itu dirasakan tidak sesuai kerana pada tarikh tersebut sudah ada sambutan diraikan oleh penganut agama lain yang sememangnya haram diraikan umat Islam.

“Kenapa kita perlu obses dengan budaya orang lain, sedangkan kita boleh pilih hari lain, yang mana memberi lebih banyak makna kepada umat Islam?,” katanya.