zamil ibrahim

SHAH ALAM – Sambil menegaskan dirinya masih Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah yang sah, Zamil Ibrahim bertekad untuk berkempen memastikan Datuk Zaid Ibrahim berundur diri daripada terus menerajui parti itu.

Zamil dipecat dari Kita minggu lalu oleh Jawatankuasa Disiplin parti itu.

Katanya, antara usaha yang dijalankan beliau ialah Kempen Singkir Zaid (KSZ) bagi mengajak ahli-ahli parti untuk menyingkir Zaid.
Kempen itu dilancarkan semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi kesediaannya untuk menerajui parti itu.

“Jika saya dipilih sebagai ketua, saya berjanji kepada semua kepimpinan negeri untuk membawa Kita menuju ke PRU13 tanpa memihak kepada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat (PR).

"Namun jika keadaan memerlukan Kita bekerjasama dengan mana-mana pihak, kita akan membuat pertimbangan secara parti dan bukannya secara persendirian,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid yang mencadangkan ahli parti yang tidak setuju dengan pendirian beliau, boleh memilih pemimpin baru tetapi mestilah mengikut saluran yang betul.

"Saya sedang bergerak ke arah itu dan sedang mendesak dari pelbagai sudut supaya Zaid undur diri.

“Jika kita terlalu mengikut saluran, ia akan mengambil masa dan mungkin beberapa pimpinan negeri masih tidak nampak permainan politik ini,” katanya.

Zamil mendakwa, permainan politik yang sedang dimainkan Zaid adalah sama ada membubarkan parti dan menutup parti itu ataupun kekal menjadi ketua sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tetapi tidak akan mengeluarkan watikah pencalonan kepada ahli yang ingin bertanding.

Beliau turut mempersoalkan tujuan mewujudkan parti politik jika tidak mahu bertanding.

“Kalau Kita ini badan bukan kerajaan (NGO), tidak mengapa, saya boleh terima, tetapi Kita ialah sebuah parti politik.

“Untuk apa beliau sendiri melancarkan manifesto parti jika tidak mahu bertanding? Ini bukan filem lawak, ini bukan perjuangan beliau sendiri, tetapi perjuangan seluruh ahli parti,” tegas beliau.

Sementara itu, Zamil turut tidak mengiktiraf pemecatan beliau dari parti itu kerana mendakwa sehingga hari ini masih tidak menerima sebarang surat rasmi ataupun makluman walaupun khidmat pesanan ringkat (SMS) daripada kepimpinan pusat mengenai perkara itu.

“Kalaupun surat itu dalam perjalanan, saya tetap tidak akan menerima perkara itu kerana saya berpendapat orang yang sepatut dipecat adalah Ketuanya, Datuk Zaid Ibrahim kerana beliau yang sebelum ini berniat untuk membubarkan parti.

“Beliau (Zaid) sendiri yang dahulu mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk atau berbincang dengan ahli parti, tetapi apabila kepimpinan negeri mengadakan siding media, beliau putar belitkan fakta. Pemimpin apakah ini?” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kenyataan Zamil yang mendakwa masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai pemecatan itu, Masrum berkata, surat rasmi sudah dihantar kepada beliau.

“Kalaupun beliau (Zamil) tahu melalui rakan-rakan atau media, itu sudah kira beliau telah maklum dan yang penting beliau tahu tentang perkara ini.

“Beliau juga mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan surat rayuan kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat berhubung isu pemecatan beliau,” katanya.