Monday, February 13, 2012

Makin hampir PRU13, samseng menjadi-jadi



Harakahdaily,13 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 13 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan di atas sikap segelintir pihak yang mengganggu ceramah yang diadakan oleh sekumpulan mahasiswa di atas isu kebebasan akademik yang diadakan di Kampung Idaman, Klang kelmarin.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap tindakan sekumpulan pemuda yang menggangu ceramah tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan tidak rasional.

“Lebih mendukacitakan apabila kumpulan samseng itu mengganggu ceramah sekumpulan mahasiswa, yang sudah tentu mereka ini bukanlah lawan ‘fizikal’ yang layak bagi samseng terbabit,” katanya kepada Harakahdaily.

Justeru, ujarnya DPPM merasa kecewa kerana insiden itu berlaku buat kali kedua selepas ceramah ‘Asalkan bukan Umno (ABU)’ yang diadakan di Jalan Kebun, Klang (gambar) beberapa minggu lalu telah diganggu dengan serangan ganas oleh sekumpulan pemuda yang memukul dan mencederakan peserta ceramah tersebut.

Tambahnya, insiden kedua pula berlaku di kawasan yang tidak jauh dengan insiden pertama, seolah-olah ada kawasan tertentu menjadi ‘sarang kumpulan samseng’ yang akan menggangu ceramah siapa sahaja daripada pihak pembangkang atau rakyat.

Apa yang menghairankan, katanya bagaimana kumpulan samseng boleh dibiarkan hidup bermaharajalela tanpa pemantauan atau tindakan tegas dibuat.

“Adakah mereka ini sengaja ‘dibela’ atau ditaja oleh pihak tertentu dengan tujuan bagi ‘memutihkan’ kawasan berdekatan daripada ceramah aktivis atau pemimpin Pakatan Rakyat serta menghalang rakyat daripada mendengar ceramah mereka?” soalnya.

Lebih dari itu, kata beliau tindakan keganasan dilihat semakin menjadi-jadi menjelang pilihanraya umum ke 13, seakan-akan ada suatu tekanan daripada pihak tertentu yang merasa terancam dengan sokongan dan sambutan rakyat.

Katanya, lebih membimbangkan adalah budaya samseng dengan menjadikan keganasan, ugutan, pukul dan mencederakan semakin menular bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat.

“DPPM menganggap ini merupakan langkah terdesak pihak tertentu bagi menghalang suara rakyat dalam menyampaikan pandangan mereka dan seterusnya menafikan rakyat daripada mendengar kebenaran daripada hujah yang dikemukakan.

“DPPM bimbang sekiranya budaya ini tidak dicegah, semakin kuat tindakan jahat dan kotor dilakukan oleh kumpulan samseng sehingga boleh membahayakan nyawa sesiapa sahaja,” ujarnya lagi.

Oleh itu, ujarnya DPPM meminta pihak keselamatan mengambil tindakan terhadap pelaku keganasan dalam insiden tersebut dan memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi.

Sepatutnya, kata beliau insiden pertama menjadi panduan bahawa kawasan terbabit atau berdekatan dengannya memerlukan pengawasan ketat supaya mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa juga perlu dilindungi bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment