Saturday, March 10, 2012

Kes Altantuya: Mahkamah dengar rayuan 27, 28 Ogos depan

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


PUTRAJAYA 9 Mac - Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 27 Ogos ini bagi mendengar rayuan Cif Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 38, atas sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hampir enam tahun lalu.
Tarikh rayuan tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, N. Kanageswari semasa pengurusan kes tersebut di hadapan beliau hari ini.
Peguam Kitson Foong yang hadir bersama Lim Kon Keen mewakili Sirul Azhar memberitahu pemberita, mahkamah turut menetapkan 30 April ini bagi mendengar notis usul anak guamnya terhadap permohonan memfailkan alasan rayuan tambahan.
Sementara itu, J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah turut memaklumkan, anak guamnya diberi tempoh sehingga 19 Mac ini bagi memfailkan petisyen rayuan.
Menurut Kuldeep, anak guamnya sudah menerima kesemua 65 jilid rekod rayuan lengkap yang antaranya mengandungi alasan-alasan penghakiman Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya memfailkan petisyen rayuan.
Ketika pengurusan kes pada 10 Februari lalu, Azilah belum memfailkan petisyen tersebut kerana rekod rayuan yang diperoleh tidak lengkap ekoran ketiadaan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi.
Sehubungan itu, Kitson menyatakan, mahkamah menetapkan 25 Mei ini bagi satu lagi pengurusan kes bertujuan memastikan segala urusan dokumentasi termasuk pemfailan petisyen rayuan berjalan lancar sebelum rayuan penuh didengar.
Timbalan Pendakwa Raya, P.G. Cyril hadir bagi pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam rayuan tersebut.
Azilah dan Sirul Azhar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mensabitkan mereka pada 9 April 2009 terhadap tuduhan membunuh model sambilan itu yang ketika kejadian berusia 28 tahun.
Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin mendapati Azilah dan Sirul Azhar bersalah setelah berpuas hati bahawa pembelaan mereka merupakan penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta bertujuan menyalahkan di antara satu sama lain.
Kedua-duanya didapati bersalah membunuh wanita kelahiran Ulan Bator itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.
Altantuya menemui ajal setelah jasadnya berkecai diletupkan di kawasan belukar berhampiran Empangan Tasik Subang. Perbicaraan terhadap kedua-duanya berlangsung selama 160 hari.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment