Sunday, March 11, 2012

2,000 Melayu tiada pengenalan


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa lebih 2,000 orang berketurunan Melayu di negara ini kini berdepan dengan nasib yang tidak menentu berikutan kegagalan mereka untuk memiliki dokumen pengenalan diri iaitu sijil kelahiran dan MyKad yang sah.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (gambar) berkata, masalah tersebut berlaku disebabkan mereka dilahirkan sebagai anak luar nikah manakala sebahagian lagi disebabkan ibu bapa mereka yang bernikah di Thailand enggan mendaftarkan kelahiran.
Beliau berkata, terdapat juga ibu bapa yang telah disenaraihitamkan oleh bank, bertindak sengaja tidak mendaftarkan anak mereka untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak bank.
“Kita pasti angka 2,000 itu sememangnya wujud dan ada pihak lain mendakwa angka sebenar mungkin jauh besar sehingga mencecah ratusan ribu orang.
“Akibatnya mereka kini menjadi orang yang tidak dikenali atau dengan kata-kata lain menjadi pelarian di tanah air sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa pihaknya menerima 8,500 permohonan daripada masyarakat berketurunan India yang mahu mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Daripada jumlah itu, kerajaan telah meluluskan 5,500 permohonan manakala kira-kira 3,000 lagi ditahan untuk siasatan lanjut kerana masalah dokumentasi tidak lengkap.
Nadzim menjelaskan, sehingga kini PPIM sudah menerima kira-kira 200 aduan daripada masyarakat berketurunan Melayu berusia dalam lingkungan 25 tahun ke atas yang sedang berdepan dengan masalah berkenaan.
Katanya, terdapat kes turut melibatkan perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing terutama Indonesia apabila anak yang dilahirkan di negara ini diserahkan kepada orang lain untuk dipelihara.
Beliau menjelaskan, senario itu amat membimbangkan kerana golongan itu merupakan aset kepada negara dan masalah mereka tidak boleh terus dibiarkan berlarutan tanpa apa-apa penyelesaian.
“Agensi kerajaan yang berkaitan perlu membantu dan memberi perhatian dalam menyelesaikan apa juga masalah yang dialami oleh golongan seperti ini,” katanya.
Nadzim berkata, agensi yang berkaitan juga disaran memberi dokumen pengenalan diri sementara kerana ada sesetengah kes memerlukan masa yang lama untuk diselesaikan.

No comments:

Post a Comment