KUALA LUMPUR – Pemuda dan Muslimat Pas mengumumkan akan membantu menyara keluarga bekas imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Hoslan Hussain yang dikenakan hukuman penjara setahun berhubung kesalahan menghina mahkamah.
Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pihaknya telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Pemuda bagi membolehkan orang ramai memberi sumbangan membantu tujuh anggota keluarga Hoslan.
“Tabung ini kami menamakan Tabung Kemanusiaan Pemuda, orang ramai boleh membantu sehingga Hoslan selesai menjalani hukuman penjara, gaji beliau sebelum ini sebagai imam sangat kecil. Orang ramai boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan," kata beliau.
Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya berharap pihak berkuasa berkaitan boleh mengurangkan hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas Hoslan, yang secara perbandingan sangat berat jika dilihat pada kesalahan dilakukan.
Dewan Pemuda Pas juga membuka Tabung Rakyat Prihatin untuk membantu mangsa banjir di kawasan Dusun Tua dan Ampang baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dewan Muslimat berkata akan menyumbangkan RM800 setiap bulan kepada keluarga Hoslan, 46.
Timbalan Ketua Muslimat Pas, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya amat bersimpati dengan ahli keluarga imam terbabit yang hilang tempat bergantung.
“Ini salah satu soladirati kita terhadap keluarga imam tersebut dan kita telah pun membuat keputusan untuk menyumbangkan RM800 setiap bulan selama setahun kepada keluarganya.
“Kami merasa terpanggil untuk membantu memandangkan imam terbabit mempunyai tujuh orang anak,” katanya pada sidang media hari ini.
Hoslan dikenakan hukuman penjara selepas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah susulan tindakannya membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman, di sini antara 10.15 pagi dan 10.30 pagi pada 22 Februari lepas.
Hakim Zulkefli berkata, hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.
Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan Hoslan adalah serius, tidak boleh dibiarkan serta perlu dibendung.
Kejadian tidak diduga itu terjadi sejurus selepas panel memutuskan permohonannya untuk mencabar kesahihan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Pesekutuan mengosongkan kuarters yang didudukinya selepas pelantikannya sebagai imam ditamatkan agensi itu pada Oktober 2008.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment