Sunday, March 11, 2012

Shahrizat lepaskan jawatan menteri 8 April

Shahrizat lepaskan jawatan menteri 8 April - Politik - Sinar Harian:
Shahrizat Abdul Jalil
KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh beliau sebagai senator berakhir 8 April ini.
"Pada 8 April, apabila tamat penggal sebagai ahli Dewan Negara, saya akan undur diri," kata beliau kira-kira 4 petang tadi.
Khidmat anggota Dewan Negara adalah selama tiga tahun dan boleh disambung satu penggal lagi.
Beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 9 April 2009 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri dan seterusnya anggota Kabinet. Beliau gagal mempertahankan kerusi Lembah Pantai dalam pilihan raya umum 2008.
Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno yang dimenangi tiga tahun lalu. Beliau juga merupakan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).
Katanya, beliau akan menghantar surat makluman keputusannya kepada Najib dalam waktu terdekat.
Beliau juga menafikan keputusannya diambil ekoran tekanan mana-mana pihak ataupun disebabkan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
"Saya ingin ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada Najib dan timbalan beliau dan rakan-rakan jemaah menteri, kerana telah mendapat kerjasama begitu baik.
"Selama 10 tahun menjalankan tugas sebagai menteri, saya sempat membawa beberapa perubahan," kata beliau pada Majlis Karisma Keluarga: Jalinan Kasih 2012 di Desa Water Park di sini petang, yang turut mendapat liputan lebih 60 wartawan dan jurugambar yang telah menunggu beliau sejak dari jam 1 tengah hari tadi.
Semalam, Najib berkata, beliau akan mengumumkan tentang kedudukan Shahrizat sebagai menteri pada waktu yang sesuai.
Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno sebelum itu tidak menafikan desas desus yang mengatakan Ketua Pergerakan Wanita Umno itu akan meletakkan jawatan.
"Pelbagai khabar angin... kita akan membuat pengumuman (pada waktu) yang bersesuaian," katanya.
Isu peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National Feedlot Corporation, yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Beberapa individu sebelum ini termasuk bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz meminta Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan ia menjadi bebanan kepada parti.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menasihatkan Shahrizat agar "jangan sayang kepada jawatan."
Berhubung jawatan sebagai Ketua Wanita, Shahrizat berkata, keputusan mengekalkan jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah seperti keluarga baginya.

"Menjadi satu 'powerful force', Wanita BN kini 'powerful force' yang bawa perjuangan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Tambah Shahrizat, dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum pengundurannya, beliau akan meneruskan tugas seperti biasa dan akan menghadiri jemputan daripada NGO yang telah diterima sebelum ini.

Jelasnya, beliau juga akan menggunakan baki perkhidmatan yang ada untuk memastikan Akta Pekerja Sosial menjadi kenyataan.

Katanya, sepanjang menjadi menteri beliau melihat banyak perkara yang memberi erti yang besar dalam kehidupannya terutama ketika turun membantu golongan yang memerlukan dan turut mengucapkan terima kasih kepada semua NGO yang telah bersama-sama kementeriannya.

Shahrizat memberitahu bahawa keputusan yang dibuat atas keinginannya sendiri tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Beliau turut menafikan perletakan jawatannya itu  disebabkan skandal NFC, dan menegaskan sekali lagi, perkara itu hanyalah kebetulan memandangkan beliau adalah isteri kepada Salleh.

“Perletakan jawatan ini tidak ada kena mengena dengan NFC, saya tiada sebarang kaitan dengan NFC, hanya kebetulan saya adalah isteri kepada Pengerusi NFC.

"Tetapi sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab, saya rasa ini tindakan tepat untuk berundur dengan baik.

"Saya ingin jelaskan, ini keputusan saya sendiri, dan saya mahu pastikan apabila saya berundur, siasatan akan diteruskan mengikut  undang-undang dan kita semua nantikan hasilnya," katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment