Sunday, March 11, 2012

Suami tabah jaga isteri hidap kanser sejak setahun

Suami tabah jaga isteri hidap kanser sejak setahun - Kelantan - Sinar Harian:
Bantuan
KUALA KRAI - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu nasib seorang pengawal keselamatan di Kampung Sungai Durian Luar, dekat sini, Abdul Halim Mamat apabila isterinya disahkan menghidap kanser payu dara sejak hampir setahun lalu.
Menambah lagi derita, rumah pusaka didiami Abdul Halim, 52, bersama isteri, Norizan Salleh, 42, dan empat anak berusia antara enam dan 13 tahun sudah terlalu usang.

Abdul Halim berkata, bergantung hanya kepada gaji bulanan sebagai pengawal keselamatan, dia tidak mungkin mampu membaiki sendiri rumah itu, terutama dalam keadaan isterinya sedang sakit dan memerlukan rawatan.

“Selain bumbung bocor hampir seluruh rumah, lantai pun sudah tidak rata dan dinding reput,” katanya yang tinggal di rumah pusaka itu sejak 1990. 

Abdul Halim berkata, walaupun tidak mampu, dia buntu cara memohon bantuan­ rawatan isterinya termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana tidak ada surat sokongan­ pakar perubatan.

“Rekod perubatan ada tetapi jika nak dapatkan surat sokongan, mungkin bermasalah kerana isteri saya tidak mahu meneruskan rawatan di hospital.

“Hidup saya sekarang memang benar-benar sukar kerana selain kos rawatan isteri, saya juga perlu sara keluarga termasuk belanja tiga anak yang masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, nasibnya bagaimanapun bertambah baik selepas derita keluarganya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Katanya, sejak disahkan menghidap kanser, sudah beberapa kali isterinya menerima bantuan untuk pesakit kronik daripada Abdul Latiff termasuk kerusi roda dan kewangan.

“Sebelum ini pun memang sudah banyak kali ustaz (Abdul Latiff) bantu kami dan hari ini (semalam), dia beri pula bantuan­ untuk baiki rumah sekali dengan tukang rumah,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Durian, Abdul Hamid Yaakob yang menyelia kerja baik pulih rumah keluarga itu berkata, projek dilakukan secara gotong-royong oleh peserta Ladang Rakyat.

Katanya, projek itu adalah yang pertama bagi pusingan kedua bantuan baik pulih rumah di mukim itu pada tahun ini, selepas tiga keluarga menerima bantuan sama pada pusingan pertama.

“Untuk rumah Abdul Halim ini, kita akan tukar seluruh bahagian atap kerana masalah utama adalah bumbung bocor. Dari segi bantuan kebajikan, saya akan cuba bantu dia buat permohonan,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment