Friday, March 23, 2012

Dua gadis lari ikut kekasih kembali ke pangkuan keluarga

Dua gadis lari ikut kekasih kembali ke pangkuan keluarga - Nasional - Sinar Harian:
Keluarga Nabila gembira apabila anak gadis mereka selamat kembali ke pangkuan keluarga, semalam.
KUANTAN – “Saya tidak mahu dia diganggu lagi. Biarlah dia tenangkan fikiran dahulu,” kata ibu kepada remaja yang didakwa diculik, Nor Mala Mohd Lazin, 33.

Katanya, dia sudah bertemu dengan anaknya, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, semalam, tetapi terpaksa menempatkan Fatihah di tempat yang dirahsiakan bagi memberi ruang anaknya melepaskan tekanan.

“Buat masa ini, saya tidak mahu dia berjumpa sesiapa selain ahli keluarga­. Saya tidak mahu fikiran dia terus terganggu berikutan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang semalam, sudah menyerahkan Fatihah kepada keluarganya­ selepas diberi kaunseling oleh pegawai JKM.

Pengarah JKM negeri, Datuk Shamsiah Husin berkata, pada mulanya, Siti Nur Fatihah tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya, tetapi selepas dipujuk pegawai JKM dia akhirnya bersetuju untuk pulang ke rumah.

“Pihak kami telah menyerahkan Fatihah kepada keluarganya petang semalam, tetapi kami tidak pasti sama ada dia kini di rumah ibunya atau rumah neneknya,” katanya di sini, semalam.

Tambahnya lagi, pihak JKM juga mengaturkan sesi kaunseling iaitu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu kepada Fatihah.

“Kita akan meneruskan sesi kaunseling itu sehingga dia kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Fatihah mempunyai masalah dengan keluarganya, beliau enggan mengulas lanjut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Siti Nur Fatihah hilang dipercayai diculik ketika keluar bersama dua adiknya untuk membeli kad nilai tambah pra bayar di sebuah kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya di Taman Tas, di sini.

Bagaimanapun semalam, remaja itu akhirnya mengaku dia tidak diculik, tetapi dengan rela hati melarikan diri ke rumah teman lelakinya di Kampung Merchong, Pekan.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, anggota polis yang dikatakan terbabit dalam kejadian remaja diculik Ahad lalu tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Menurutnya, kes itu bukan kes penculikan, tetapi Siti Nur Fatihah dengan rela hati melarikan diri ke rumah teman lelakinya.

“Bagaimanapun, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini,” katanya di sini, semalam.


Keluarga jemput Nabila

Dalam kes berasingan pula, polis mengesahkan remaja berusia 15 tahun dari Taman Koperasi, Jerantut yang didakwa keluar membeli kad prabayar Isnin lalu mengikut teman lelakinya ke Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasegaran berkata, remaja perempuan itu, Nur Nabila Mat Yaakob dikatakan keluar bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Wawa kira-kira jam 8 malam.

Bagaimanapun, katanya selepas itu, Nur Nabila menghubungi ibunya melalui telefon bimbit dan memaklumkan dia selamat.

Naran berkata, sebelum itu juga remaja terbabit turut memaklumkan ibunya yang dia menghadiri satu kem motivasi di Kuantan, tetapi hasil siasatan mendapati dia mengikut teman lelakinya yang berusia 26 tahun di Sungai Isap, Kuantan.

“Justeru, jangan buat andaian tidak berasas kerana kita tidak mahu masyarakat berfikir negatif membabitkan jenayah lain,” katanya.

Sementara itu, ibu bapa Nur Najihah, Norazlina Osman, 47, dan Mat Yaakob Mat Daut, 69, bersyukur dan lega berikutan kes kehilangan salah seorang anak kembar mereka selesai.

Norazlina berkata, dia sekeluarga­ bergegas menjemput Nabila di Kuantan kira-kira jam 1 pagi semalam selepas dimaklumkan lokasi dari SMS anaknya itu.

“Kehilangan anak saya lebih 48 jam antara pengalaman pahit yang sukar dilupakan kerana terlalu bimbang keselamatan diri dan nyawanya selain gagal dihubungi ketika itu.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga gembira kerana Nabila tergerak hati untuk menghidupkan semula talian telefon bimbitnya dan memaklumkan keadaan dirinya serta dan lokasinya berada,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Nabila berada di bawah jagaannya di rumah dan mereka menggunakan pendekatan berbincang dengan cara lebih berhemah bagi mendengar dan menyelesaikan masalah Nabila.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, pasangan ini merayu seorang dari anak kembar mereka, Nur Nabila, 15, pulang ke pangkuan keluarga selepas keluar meninggalkan rumah pada malam Isnin lalu.

“Kami tidak mahu lagi dia tertekan. Biarlah dia banyak berehat dan lebih tenang. Apa pun kami sekeluarga­ bersyukur Nabila pulang dengan selamat,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment