Baju Bersih 3.0 koyak disentap siak dalam masjid (gambar)
Harakahdaily
NILAI: Berang dengan tindakan seorang jemaah yang memakai baju Bersih 3.0, seorang siak di sebuah masjid di Kampung Jijan di sini didakwa bertindak menyentap baju pemuda tersebut hingga koyak.
Kejadian berlaku malam tadi ketika pemuda terbabit sedang bersalam-salaman dengan jemaah lain sejurus selesai solat Maghrib berjemaah di Masjid Masjid Saidina Abu Bakar di sini.
"Tiba-tiba tok siak tersebut telah meluru kepada pemuda yang memakai baju Bersih dan menyentap bajunya dari belakang sehingga terkoyak.
"Jemaah yang lain menegur beliau supaya menghormati masjid tetapi dia buat tak peduli," cerita seorang saksi yang mengirim emel kepada Harakahdaily.
Menurut saksi itu lagi, kejadian semalam merupakan kemuncak kepada kemarahan siak tersebut yang sebelum ini pernah menghalau pemuda sama dari bersolat di masjid berkenaan gara-gara memakai baju Bersih itu.
Kejadian kali pertama itu didakwa berlaku pada 14 April lalu iaitu sebelum himpunan besar-besaran Duduk Bantah Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April.
Ketika itu pemuda dengan berbaju Bersih itu hadir dan bersiap sedia untuk solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan.
Namun tidak semena-mena, siak tersebut meninggikan suara dan menghalau keluar pemuda tersebut dan tidak membenarkan beliau bersolat jemaah di masjid berkenaan.
"Ahli-ahli jemaah yang lain hanya berpandangan antara satu sama lain dan mengeleng-ngelengkan kepala.
"Sebelum ini, siak tersebut sangat disenangi dan disegani oleh para jemaah kerana komitmen yang ditunjukkan dalam menyelenggarakan hal-hal masjid sangat baik, tetapi kesan daripada kejadian tersebut kepercayaan kepada beliau tergugat," kata saksi itu lagi.
Lantas saksi itu menimbulkan persoalan termasuk adakah siak tersebut menerima arahan supaya tidak membenarkan orang memakai baju Bersih bersembahyang di masjid tersebut.
Atau juga siak tersebut mendapat mendapat 'fatwa' yang menyatakan memakai baju Bersih tidak sah sembahyang di masjid.
Kerengga
No comments:
Post a Comment