Saturday, May 12, 2012

Peneroka hanya peroleh 25 peratus ‘durian runtuh’ dari keuntungan Felda, kata PKR

Main - Bahasa - Peneroka hanya peroleh 25 peratus ‘durian runtuh’ dari keuntungan Felda, kata PKR @ Fri May 11 2012:


May 11, 2012
PETALING JAYA, 11 Mei — PKR hari ini mendedahkan pemberian durian runtuh yang diterima peneroka Felda hanyalah 25 peratus daripada keuntungan keseluruhan Felda selepas penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH).
Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, jumlah RM15,000 yang dikatakan “durian runtuh” hanyalah 9 peratus daripada keuntungan penuh Felda melalui penyenaraian berjumlah RM18.7 bilion
“Berdasarkan analisa kami, jumlah RM15,000 itu hanyalah 9 peratus daripada keuntungan sebenar, dan baki 15 peratus yang bakal diterima peneroka adalah dari saham Syarikat Felda Aset Holding (FAHC).
“Pemberian itu menunjukkan kerajaan tidak ikhlas untuk membantu peneroka.
“Objektif utama Felda adalah supaya kaum peneroka dapat tingkatkan ekonomi, dan taraf hidup yang baik, kalau hanya beri 9 peratus, bagaimana kehidupan peneroka hendak maju?” soal Wong ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Jelas Wong, daripada analisa yang dilakukannya, 112,635 peneroka Felda seharusnya diberikan 50 peratus daripada keuntungan keseluruhan Felda yang diperolehi daripada penjualan saham FGVH sebanyak 1.2 bilion, ekuiti 40 peratus dalam FGVH, dan kutipan sewa RM500 juta setahun untuk 99 tahun tempoh cagaran.
“Kenapa Felda membolot keuntungan 75 peratus dan peneroka hanya diberikan sebahagian daripada keuntungan yang sepatutnya menjadi milik mereka? Kenapa peneroka selalu diberikan tawaran yang buruk?” soalnya lagi, dan menambah peneroka seharusnya diberikan keadilan.
“Kita memang menentang penyenaraian, tapi memandangkan kerajaan dah bertekad untuk meneruskan penyenaraian, kita juga perlu pastikan peneroka mendapat imbuhan yang setimpal,” tegasnya.
Justeru, Wong mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memberikan keadilan kepada peneroka dan berhenti daripada memihak kepada Felda.
“Felda kini sudah terlalu dipolitikkan dan peneroka perlu dilayan secara adil.
“Saya tidak faham kenapa kerajaan sendiri cuba mengambil kesempatan terhadap peneroka yang majoritinya orang Melayu.
“Kalau betul kerajaan sayangkan peneroka, beri hak mereka 50 peratus keuntungan Felda supaya hidup mereka lebih bartambah baik,” katanya lagi.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment