'Mak makanan apa ni',
Suharni bersama anak-anak dan suaminya, Zuki, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
DUNGUN – Luluh hati seorang ibu tatkala melihat anaknya terpaksa diberi makan sagu untuk mengisi perut kosong setelah bekalan beras di dapur kehabisan.

Namun, kemiskinan hidup menyebabkan Suharni Basir, 43, yang pernah tinggal di sebuah pondok usang di kampung Gong Beting dekat sini, tiada pilihan melainkan menghidangkan makanan yang pada masa kini hanya sesuai untuk makanan ternakan sahaja, demi memastikan lima anaknya berusia tujuh hingga 13 tahun itu tidak mati kelaparan.

Kisah duka keluarga malang ini dikongsi Suharni bersama Sinar Harian, setelah dia yang mendirikan rumah tangga bersama Zuki Hashim, 45, sejak lebih 10 tahun lalu, tidak lagi sanggup melalui detik getir ini setelah pelbagai bantuan gagal dinikmatinya, biarpun dari segi zahir mereka lebih daripada layak untuk menerimanya.

Menurut Suharni, hidangan sagu menjadi rutin kehidupan buat keluarganya yang sentiasa dihimpit kemiskinan itu.

“Ketika menghidangkan sagu untuk diberi makan kepada anak-anak, mereka pernah tanya, mak, makanan apa ni?

“Hati saya luluh mendengarnya, tapi saya tetap pujuk anak supaya makan kerana kalau tidak makan sagu itu, kami akan mati kelaparan," katanya.

Suharni bersama anak-anak dan suaminya, Zuki, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Suharni berkata, dia terpaksa menjadikan pondok buruk yang hanya layak dijadikan kandang ternakan sebagai tempat berlindung daripada panas dan hujan kerana telah dihalau dari rumah didudukinya sekeluarga sebelum ini kerana gagal menjelaskan sewa rumah, biarpun kadar sewanya tidak sampai RM200 sebulan.

Katanya, dia terpaksa membawa empat anaknya mencari tempat berlindung sehinggalah menemui sebuah pondok usang yang terbiar itu.

“Saya pernah dihalau keluar rumah kerana gagal membayar sewa dan kami tujuh beranak terpaksa menumpang teduh di sebuah pondok buruk dalam semak tanpa kemudahan air dan elektrik.

“Kami tidur bertemankan pelita minyak tanah, tiada kemudahan air dan elektrik dan waktu malam kami dikerumuni nyamuk, bayangkanlah daifnya kehidupan kami ketika itu,” katanya.

Untuk meringankan beban suami yang hanya bergantung harap kepada kerja tukang rumah itu, dengan kudrat yang masih ada, Suharni terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga kilometer setiap hari untuk bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan
pendapatan RM15 sehari.

Dengan duit itulah dia dapat membeli keperluan makanan jika suaminya gagal memperoleh pendapatan.

5 anak tidak dapat sekolah

DENGAN nada sebak Suharni meluahkan, lebih menyedihkan, kemiskinan hidup juga menyebabkan lima anaknya tidak dapat bersekolah, biarpun jauh di sudut hatinya ingin melihat kesemua permata hatinya itu berjaya dalam pelajaran seperti anak-anak jiran lain.

Katanya, segalanya berpunca setelah kesemua anaknya, Nazihan, 7, Nasarudin, 9, Nurshafiqah, 11, Zulfitri, 13, yang jika bersekolah antara tahun satu hingga tingkatan satu itu tidak mempunyai dokumen sijil kelahiran kerana sewaktu dia melahirkan anak, dia tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil hospital.

“Kadang-kadang saya berendam air mata sebab tengok anak-anak orang lain semuanya bersekolah.

“Saya sudah berikhtiar untuk mendapatkan semula dokumen kelahiran diperlukan di Pejabat Pendaftaran, namun saya kecewa kerana masih gagal berurusan atas pelbagai alasan, selain tidak berkemampuan untuk menjelaskan denda dikenakan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anak Suharni, Nashafiqah Zuki berkata, dia teringin menikmati alam persekolahan seperti kanak-kanak lain, namun masalah ketiadaan dokumen kelahiran menyebabkan dia gagal diterima masuk di sekolah rendah, biarpun jarak rumahnya dengan sekolah tidak sampai 50 meter.

“Saya teringin sangat nak sekolah seperti rakan lain, tapi tak dapat, nak buat macam mana,” katanya.

Suami Suharni, Zuki pula berkata, dia sudah puas berikhtiar, namun sehingga kini lima anaknya itu masih tidak dapat bersekolah kerana ketiadaan dokumen.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang rumah, berapalah sangat pendapatan saya, hanya cukup makan sahaja.

“Nak selesai dokumen anak saya tu, kena pergi Kuala Lumpur, semuanya kena pakai duit, saya manalah mampu,” kata Zuki yang kini menyewa sebuah rumah papan berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Nyiur, Paka.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional Zuki Hashim: 11004-41-0003019-1.

Maklumat lanjut berkaitan keluarga malang ini boleh hubungi wartawan sinar di talian 019-9391369.

Zuki dan Suharni masih mengharapkan satu keajaiban tuhan untuk mengubah nasibnya setelah lima anaknya berusia antara tujuh hingga 13 tahun tidak bersekolah selain terpaksa menjadikan sagu sebagai makanan rutin harian susulan kemiskinan
hidup.