Sunday, June 17, 2012

Imam Al-Aqsa mahu Malaysia terus tekan Israel - Nasional - Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Malaysia dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lain digesa terus memberi tekanan kepada tindakan Israel melakukan pencerobohan dan pengalian di bawah Masjid Al-Aqsa.
   
Imam masjid itu, Syeikh Akrima S.A Sabri berkata Malaysia sentiasa prihatin dengan setiap isu Palestin dan diharap terus memberi tekanan terhadap tindakan Israel yang tidak berasas serta bakal memusnahkan Masjid Al-Aqsa.
   
"Malaysia antara barisan depan yang sentiasa menyokong perjuangan umat Islam di Palestin bersama 57 negara OIC perlu terus melakukan protes terhadap tindakan Israel ini.
   
"Protes (tekanan) oleh banyak pihak antarabangsa penting untuk menghentikan tindakan Israel itu," katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Antarabangsa 'Fiqh Mentaati Pemimpin' di sini hari ini.
   
Beliau turut meminta semua pihak terus menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat Palestin.

"Ada dua bentuk bantuan yang amat diperlukan rakyat Palestin, bantuan pertama, yang saya sifatkan mampu disalurkan oleh individu serta tidak perlukan tindakan sebuah negara, ialah bantuan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keperluan harian termasuk makanan serta perubatan, yang mana semua negara atau pertubuhan mampu untuk segera membantu rakyat Palestin," katanya.
   
Syeikh S.A Sabri berkata selain itu, bantuan yang disifatkan perlu namun mungkin mengambil masa ialah berkaitan persefahaman negara Islam sendiri untuk bersepakat membantu Palestin.
   
"Bantuan ini bersangkut-paut dengan tanggungjawab negara, bukan masyarakat atau penduduk, kesepaduan negara-negara Islam, permuafakatan antara mereka perlu untuk menyelesaikan isu pencerobohan yang terhadap Palestin, ini kerja negara untuk menentang Israel," katanya.
   

Sementara itu, seorang pembentang kertas kerja iaitu bekas Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar Dr Hamed Mohamed Abdel Rahman berkata memandangkan Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam yang maju, ia perlu memainkan peranan utama menerajui dunia Islam membantu badan dunia menyelesaikan pelbagai krisis antarabangsa.
   
"Peranan Malaysia perlu diperluaskan lagi, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kofi Annan sendiri telah mengakui Malaysia boleh dijadikan contoh kepada masyarakat dunia berhubung aspek kehidupan aman penduduknya yang berbilang kaum.
   
"Kofi Annan turut melihat Malaysia sebagai contoh sebuah negara Islam yang menggalakkan perpaduan di peringkat dunia, khususnya antara negara Islam dan dunia secara am," katanya sambil menambah secara peribadi, beliau melihat Turki boleh berperanan menerajui negara Islam, berdasarkan faktor geografi. - Bernama

No comments:

Post a Comment