Sunday, June 17, 2012

Jika PAS ke Putrajaya, jangan tinggalkan artis - Aishah


Jika PAS ke Putrajaya, jangan tinggalkan artis - Aishah

Hazayani Zakaria, 02 Jun 2012

ALOR SETAR: Penyanyi popular tahun 90-an, Aishah yang menyertai PAS baru-baru ini meletakkan harapan kepada parti itu terus terus mendekati dan membimbing golongan artis.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin (gambar) berkata, PAS harus memberi pencerahan kepada golongan artis untuk menggunakan medium hiburan sebagai dakwah kepada masyarakat.

"Bila PAS sampai Putrajaya, jangan lupakan artis di sini.

"Saya menyeru PAS bersabar dalam mentarbiyah golongan artis, bimbinglah kami untuk selamat di dunia dan akhirat," kata Aishah dalam nada sebak di hadapan lebih 50,000 yang hadir di Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Darul Aman, dekat sini malam tadi.

Aishah yang pernah popular dengan lagu Janji Manismu dan Bahtera Merdeka juga yakin artis memainkan peranan yang besar untuk menarik masyarakat khususnya golongan muda mencintai Islam.

"Ceramah beri pandangan dari sudut intelek, muzik pula beri pandangan tentang perasaan.

"Golongan artis ada peranan mereka dalam menyampaikan, cuma cara penyampaian kadang-kadang membuatkan kita jauh dari Islam.

"Kita kena ramaikan ustaz dan ilmuan yg boleh bangunkan bidang seni supaya semua artis dapat berkarya berdasarkan al Quran dan hadis," katanya.

Aishah juga berkata, tindakan PAS memberikan peluang kepada golongan artis sepertinya untuk sama-sama berada di pentas ceramah membuktikan parti itu adalah untuk semua masyarakat.

"25 tahun saya berada di pentas hiburan. Malam ini saya sangat terharu diberi peluang berada di pentas PAS dan membuktikan PAS for everyone," katanya disambut laungan takbir dan sorakan semangat hadirin sambil mengibarkan bendera PAS di segenap ruang stadium.

Selain beliau, seorang lagi selebriti TV Al Hijrah yang memeluk Islam beberapa tahun lalu turut bersama-sama di pentas PAS malam tadi.

Muhamad Zaid yang berasal dari Sarawak bertekad mahu menjadi salah seorang yang memperjuangkan Islam.

"Saya datang sini ada matlamat iaitu untuk menjadi salah seorang pejuang Islam," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana memberi ruang kepadanya dalam himpunan tersebut.

Himpunan malam tadi turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Kemunculan beliau mendeklamasi puisi 'Anak Muda Garang' diiringi sorakan semangat anak muda yang memenuhi stadium.

Padang becak akibat hujan lebat pada sebelah petang langsung tidak menjadi halangan untuk orang ramai duduk di atas rumput sepanjang himpunan berlangsung.


template joomla
 

No comments:

Post a Comment