Friday, June 8, 2012

Jenayah senjata api 5 negeri meningkat

Jenayah senjata api 5 negeri meningkat:






KUALA LUMPUR 7 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius peningkatan bilangan kes membabitkan penggunaan senjata api di lima buah negeri khususnya di Selangor dan Kelantan sepanjang lima bulan pertama tahun ini.


Selangor merekodkan peningkatan bilangan kes tertinggi diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah, ibu negara dan Kelantan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, beberapa faktor seperti kepadatan penduduk menyumbang kepada peningkatan jenayah senjata api itu di negeri-negeri berkenaan.


Katanya, kedudukan negeri-negeri tertentu di sempadan turut menjadi punca senjata api lebih mudah diperoleh sehingga mengakibatkan berlaku jenayah.


Mohd. Bakri memberitahu, di Kelantan iaitu sepanjang Januari hingga Mei lalu, sebanyak sembilan kes melibatkan jenayah senjata api berlaku dan 10 individu telah ditahan.


“Polis telah merampas enam senjata api dan empat butir peluru yang dipercayai digunakan bagi tujuan jenayah di Kelantan.


“Kita turut menembak mati empat penjenayah yang dikehendaki dari Kumpulan Buyong iaitu dua di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, dan bakinya dekat Taman Dagang, Ampang, April lalu," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.


Beliau berkata, berikutan kejayaan itu, PDRM percaya dapat membendung kejadian jenayah membabitkan penggunaan senjata api di Kelantan.


Mohd. Bakri turut mendedahkan, kebanyakan kes di Kelantan berlaku ekoran aktiviti penyeludupan yang kemudian berkembang dan bertukar menjadi jenayah akibat hutang dan balas dendam.


“Ini termasuk aktiviti penyeludupan dadah, rokok, beras dan bahan api. Kebiasaannya sindiket guna senjata api untuk keselamatan dan melancarkan kegiatan mereka.


“Apabila kerja mereka diganggu dan menerima ancaman daripada sindiket penyeludupan yang lain, mereka akan menggunakan senjata api," katanya sambil memberitahu, senjata api seperti pistol dijual di sempadan pada harga kira-kira RM3,000.

No comments:

Post a Comment