Tuesday, June 26, 2012

Pas tetap perjuangkan SAR

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah
Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah
KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menegaskan bahawa Pas amat mengalu-alukan pendidikan agama termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Walaupun perkara tersebut dicemari dengan insiden bantahan SAR oleh Pakatan Rakyat (PR) di Perak sebagaimana disiarkan dalam akhbar arus perdana belakangan ini, beliau menganggap PR di negeri itu mempunyai alasan  tersendiri untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, isu yang berlaku di Perak dengan apa yang berlaku di Terengganu adalah dua keadaan berbeza sehingga menyebabkan PR membantah pembinaan tersebut.

“Dalam konteks SAR, kita alu-alukan pembinaan. Masa kita memerintah Terengganu, kita beri bantuan kepada SAR yang ditubuhkan oleh individu tertentu.

"Demi kebaikan rakyat dan membangunkan pendidikan agama, Pas tidak pernah sesekali menghalang malah menggalakkan lagi perkembangan sekolah tersebut," katanya.

Menurut beliau, Pas turut membantu pihak yang membangunkan SAR dan perkara itu terbukti ketika pembangkang menerajui Terengganu pada 1999 hingga 2004. Mengulas isu pembinaan SAR Taman egoh Aman, Perak yang  dibantah oleh Pas dan PKR Gopeng, beliau bagaimanapun mengakui tidak tahu sejauh mana isu yang berbangkit di negeri tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jika ia berunsur politik terutama untuk kepentingan Umno dan BN, beliau menganggap tindakan tersebut wajar. Beliau menjelaskan, jika Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) di Perak mahu memindahkan pelajar terbabit ke kawasan lain kerana kepentingan pihak tersebut, tindakan membantah perkara itu adalah munasabah.

“PR ada hak untuk halang jika demi pembelaan bagi memastikan tempat SAR sebelum ini tidak disalahgunakan kuasa oleh BN. Kita tidak setuju jika pelajar SAR dipindahkan untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak mengetahui kedudukan sebenar berhubung perkara itu. “Apa yang penting, dalam konteks SAR khusus di negeri ini, kita alu-alukan untuk kepentingan penduduk," katanya.

PR membangkitkan isu bahawa Umno ingin mengambil alih Dewan Orang Ramai Kampung Pengkalan Pegoh yang merupakan tapak SAR sebelum ini untuk dijadikan bilik gerakan Umno dan BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menolak dakwaan tersebut sebagaimana disiarkan akhbar tempatan dan mendakwa ia cuma alasan pembangkang membantah projek tersebut.

No comments:

Post a Comment