Sunday, June 24, 2012

Penderitaan sebenar Rohingya tidak dilapor

Mohd Azmi Abdul Hamid,23 Jun 2012

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal usul yang diutarakan oleh YB Datuk Kamarudin Jaffar mengenai Isu Rohiingya telah ditolak di Parlimen baru- baru ini. Ini jelas menunjukkan pihak Speaker Dewan tidak memberi perhatian serius terhadap penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya. Padahal apa yang sedang dideritai oleh warga Rohingya sangat berat dan berkait dengan kestabilan serantau.


Kami juga amat menyesali berita penderitaan dan skala penghapusan etnik Rohingya yang kini berlaku di Wilayah Arakan (sekarang digelar Rakhine), Myanmar tidak dilaporkan dengan tepat oleh media antarabangsa.

Berdasarkan testimoni lisan dari pelarian Rohingya yang ada di Malaysia yang dapat berhubung langsung dengan saudara mara mereka di Myanmar, keadaan sangat berat dan parah.

Laporan berat sebelah disiarkan oleh media antarabangsa seolah warga Rohingya adalah pencetus kepada rusuhan yang kini sudah berlarutan lebih dari dua minggu. Padahal warga Rohingya adalah mangsa yang jelas menanggung penderitaan yang lama iaitu sejak kemerdekaan Myanmar pada 1948 lagi. Mereka sebenarnya menjadi mangsa menunggu diserang pada bila-bila masa oleh etnik Rakhine yang bekerjasama dengan polis dan tentera Myanmar.

Sejak insiden terkini  tercetus pada 3 Jun 2012, media antarabangsa  melaporkan hanya 50  orang yang mati. Padahal mayat ribuan Rohingya yang dibunuh telah diambil oleh polis sehingga media tidak dapat melaporkan bilangan yang tepat.

Dari laporan sebuah badan iaitu persatuan ulama bernama Nadhatul Mufakkirin berpusat di bandar Maungdaw di wilayah Arakan membekal maklumat kepada Mapim bahawa setakat ini jumlah anggaran kematian keseluruhan wilayah Arakan mencecah ribuan orang Rohingya. Kami malah diberi maklum bahawa angkanya mungkin mencecah lebih dari 10,000 orang.

Manakala anggaran yang hilang adalah puluhan ribu orang dan yang ditahan mencecah jumlah 5,000 orang yang kebanyakannya adalah pemuda dari semuda 15 tahun.

Kami juga diceritakan mengenai kes polis menyerbu rumah, menangkap anggota keluarga ikut suka, membawa mereka keluar dan hilang sehingga sekarang. Insiden rogol dan bunuh anak gadis oleh polis juga dilaporkan oleh ahli keluarga Rohingya di Malaysia.
Lebih malang laporan media membayangkan orang Rohingya menjadi dalang pencetus ketegangan yang terbaru ini.

Soalnya bagaimanakah warga Rohingya yang dikenakan pelbagai tekanan seperti tidak boleh bergerak bebas, tidak boleh memiliki telefon bimbit, tidak boleh keluar rumah, boleh melakukan keganasan pada skala yang sangat serius sehingga sekarang.


Mapim memantau melalui berita yang kami perolehi secara langsung dari rakyat Rohingya dari Arakan, laporan dari pelarian Rohingya di Malaysia dan beberapa NGO hak asasi manusia di rantau ini.

Setakat ini puluhan ribu sudah dijangka dibunuh secara kejam. Mengulangi kembali penyembelihan 100,000 orang Rohingya yang dibunuh pada tahun 1945 oleh tentera dan puak estremis etnik Rakhine.


Berita bahawa berlaku pembakaran masjid dan madrasah juga disampaikan kepada Mapim. Laporan terkini yang Mapim terima dari Akyab (Sittwe), ibu negeri wilayah Arakan ialah sebanyak 21 buah masjid dibakar di 16 buah kampung. Mapim dibekalkan nama-nama kampung berkenaan.

Malah Mapim telah menerima laporan kejadian keganasan etnik Rakhine bersama polis di setiap perkampungan yang diserang.

Arahan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa bahawa warga Rohingya tidak dibenarkan menyembahyangkan jenazah serta juga tidak dibenarkan solat Jumaat.

Dalam keadaan yang sudah sedia parah dan azab ini, Mapim mengecam tindakan pihak berkuasa Bangladesh pula menutup sempadan Arakan-Bangladesh. Kini puluhan ribu lagi warga Rohingya cuba menyelamatkan diri melalui puluhan bot untuk menyeberang sungai untuk masuk Bangladesh. Bot dimuat dengan kanak- kanak, wanita, orang tua yang uzur, mereka yang cedera. Ramai yang dilapor mati kerana kebuluran dan tidak mendapat rawatan ketika melarikan diri.

Mapim mengesa delegasi Khas dari Asean dan PBB serta OIC hendaklah segera dihantar ke Arakan untuk menilai keadaan. Tekanan kepada Myanmar hendaklah dilakukan untuk memelihara hak asasi manusia minoriti Rohingya dan yang lain.


Mapim mengumumkan sedang berusaha untuk menghantar delegasi NGO Malaysia untuk misi kemanusiaan ke Arakan secepat mungkin. Kami memutuskan untuk menimbangkan kemungkinan untuk menghantar sebuah kapal kemanusiaan melalui laut bagi menyalurkan bantuan makanan dan ubatan serta khemah pelarian.

Mapim berpendapat negara-negara Asean masih tidak mengambil langkah wajar untuk membendung penghapusan etnik Rohingya setiap hari. Keadaan yang meruncing sehingga ke tahap rogol anak gadis, perampasan harta benda dari rumah, menculik anak muda dan dihilangkan adalah laporan yang tidak keluar di media dan sengaja ditutup dari pengetahuan dunia.

Oleh kerana itu jika keadaan tidak bertambah baik, Mapim tidak ada pilihan selain dari menghantar sukarelawan untuk mendesak kerajaan Myanmar memberi laluan untuk bantuan dibawa masuk ke Arakan.

Penulis ialah Setiausaha Agung Mapim.

No comments:

Post a Comment