OLEH: KARMIC WHEEL | PADA: 12:44 AM
Jumaat, 27 Julai 2012 Kumpulan Taliban Pakistan, Tehreek-e-Taliban (TTP) mengancam akan menyerang Myanmar guna membalas dendam terhadap penindasan terhadap etnik Muslim Rohingya, jika Pakistan tidak menghentikan semua hubungan dengan Yangon dan menutup kedutaan Myanmar di Negara tersebut.
Tehreek-e-Taliban dalam satu kenyataan tentang penderitaan Muslim di Myanmar berkata, mereka akan membalas dendam dengan 'menumpahkan darah'.
Jurucakap kumpulan itu, Ehsanullah Ehsan mendesak kerajaan Pakistan menghentikan semua hubungan dengan Yangon dan menutup kedutaan Myanmar di Pakistan.
'' Jika tidak, kami tidak hanya akan menyerang kepentingan Yangon tetapi termasuk menyerang rakyat Myanmar di Pakistan satu-persatu di mana-mana,'' katanya dalam satu kenyataan dipetik AFP.
Kedutaan Myanmar di Islamabad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan masalah ini.
Kelompok Taliban sering mendakwa menyerang pasukan keselamatan di Pakistan tetapi kemampuannya untuk melakukannya di luar negara masih dipersoalkan.
Hanya saja, pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, terdapat bukti kumpulan itu mendalangi usaha letupan bom di Times Square, New York tahun 2010 dan seorang warga AS-Pakistan, Faisal Shahzad dipenjarakan seumur hidup.
Sebelum ini, Amerika menuduh Ketua Tehreek-e-Taliban, Hakimullah Mehsud telah membunuh tujuh agen CIA yang tewas dalam sebuah letupan bunuh diri di pangkalan AS di Afghanistan Disember 2009.
Konflik baru-baru ini di Rakhine antara penduduk Buddha dan etnik Muslim Rohingya menyebabkan puluhan orang terbunuh dan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu mendesak Presiden Myanmar, Thein Sein menangani isu penderitaan etnik Muslim Rohingya sesuai standard hak asasi antarabangsa.
Dalam surat yang dihantar kepada pemimpin Yangon itu, Thein Sein diminta memberi jaminan keselamatan pada etnik Muslim Rohingya sebagai penduduk Myanmar dan menamatkan semua bentuk penindasannya.
No comments:
Post a Comment