Friday, September 28, 2012

Iran kecam ugutan Barat


       
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menuduh Barat dan Israel mengugut menyerangnya dengan senjata nuklear.

Beliau berkata demikian selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk menyekat apa yang beliau dakwa sebagai rancangan Iran untuk memperoleh senjata atom.
“Perlumbaan senjata dan ugutan dengan senjata nuklear serta senjata pemusnah besar oleh kuasa penjajah semakin menjadi-jadi,” katanya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ancaman berterusan daripada Zionis yang tidak bertamadun untuk menggunakan tindakan tentera terhadap negara kami adalah contoh jelas,” katanya, merujuk kepada Israel.


Barat percaya program nuklear Iran bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear yang akan menjejaskan keseimbangan kuasa di Asia Barat.


Iran menegaskan ia berhak untuk melakukan penyelidikan nuklear untuk tujuan keamanan dan tidak mengendahkan sekatan ekonomi antarabangsa serta ancaman Israel untuk melancarkan serangan ke atasnya.

Selasa lalu, Obama mengulangi pendirian Amerika Syarikat bahawa ia akan melakukan apa saja untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, sekali gus meningkatkan kemungkinan perang akan meletus. - AFP

No comments:

Post a Comment