Mursi bertemu dengan Setiausaha Agong PBB, Ba Ki-moon.
Mursi bertemu dengan Setiausaha Agong PBB, Ba Ki-moon.
NEW YORK - Persidangan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gamat selepas beberapa pemimpin negara Timur Tengah mencemuh tindakan rakus Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang ingin kekal sebagai kuasa kuat di peringkat antarabangsa.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad dikatakan membuat kejutan selepas mengeluarkan kenyataan sedia berdamai dan menuntut kesaksamaan dengan AS, sedangkan dalam kenyataannya kelmarin, beliau mendesak negara dunia supaya menyelar undang-undang antarabangsa yang didominasi AS.

“Serangan 11 September  ke atas AS dilihat sebagai tragedi buruk tetapi tindakan AS menghumban pelakunya ke laut adalah perkara tragis,” katanya yang merujuk kepada cara pengebumian pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden.

Beliau juga turut menggelar rejim Israel rejim sebagai 'palsu'.

Ketika ucapannya selama 30 minit, delegasi AS, Kanada dan Israel bangkit meninggalkan dewan perhimpunan itu.

Pada masa sama juga, beribu penunjuk perasaan berdemonstrasi di luar bangunan PBB, bagi membantah kepimpinan Ahmedinejad.

Pemimpin yang turut serta dalam protes itu adalah bekas setiausaha di bawah Presiden Bush,Tom Ridge; Bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani; Bekas Speaker Dewan, Newt Gingrich dan bekas Duta PBB, John Bolton serta Persatuan Iran-Amerika di New York dan New Jersey.

Sementara itu, Presiden Mesir, Mohammed Mursi tampil buat pertama kali memberi ucapan dengan menekankan bahawa perang saudara yang melanda Syria adalah tragedi dan mesti ditamatkan.
Beliau juga menyentuh isu yang melanda Asia Barat, termasuk menyelar tindakan Israel yang membina kediaman di wilayah Palestin.

Mursi menggesa anggota PBB bergabung bagi mengakhiri tragedi yang menimpa Syria dan membebaskan penderitaan rakyatnya yang dihimpit rejim diktator, Presiden Bashar Assad selama 40 tahun.

Beliau berkata, lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak 18 bulan konflik yang berlarutan di negara Arab itu.

Serentak itu, Mursi menggesa Assad meletakkan jawatan dan mahu pertumpahan darah di Syria serta krisis kemanusiaan mesti dihentikan segera. -AFP