Abdul Jamil (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil JHEAINPP |
Naib Presiden Nube Malaysia, Abdul Jamil Jalaludeen berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa cawangan bank di negara ini yang mengabaikan tanggungjawab itu dan ada juga pengurusan yang hanya menyediakan ruang solat ‘ala kadar’ seolah-olah tidak menghormati agama Islam.
“Solat adalah Fardu Ain bagi setiap orang Islam dan mana-mana majikan seharusnya lebih sensitif terhadap keperluan menyediakan ruang solat di tempat kerja.
“Kegagalan menyediakan kemudahan seperti ini hanya akan menggalakkan seseorang pekerja Islam itu tidak dapat menjalankan kewajipan solatnya seperti yang dituntut oleh Islam,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan dan menyerahkan memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) di sini semalam.
Abdul Jamil berkata, pihaknya mendapat aduan ada sebuah cawangan bank di cawangan utara yang menyediakan ruang solat berhadapan dengan tandas yang digunakan oleh semua kakitangan bank berkenaan dan ruang solat berkenaan hanya dipisahkan dengan pengadang yang usang dan langsir.
Katanya, terdapat juga beberapa cawangan bank yang menyediakan ruang solat di dalam bilik penjana kuasa elektrik, di bawah tangga dan tempat yang tidak bersesuaian.
“Nube amat terkilan dengan sikap pengurusan bank yang tidak sensitif dan menghormati agama Islam sedangkan solat dan kerja kedua-duanya adalah ibadah.
“Bank membuat keuntungan berjuta-juta dan mereka mampu menyediakan tempat yang mewah dan selesa untuk pelanggannya namun ruang solat yang selesa untuk kakitangan mereka sendiri mereka tidak boleh lakukan. Kononnya mereka mengamalkan prinsip korporat sosial dan aktiviti kebajikan di luar bank tetapi dengan kakitangan sendiri telah diabaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa JHEAINPP mengambil tindakan sewajarnya dan mengeluarkan garis panduan kepada semua pengurusan bank agar dapat menyediakan ruang solat sewajarnya.
No comments:
Post a Comment