Thursday, September 20, 2012

Mesir tahan tujuh penganut Kristian Qibti



KAHERAH 19 Sept. - Pendakwa raya Mesir, semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas tujuh penganut Kristian Qibti dan seorang pastor Amerika Syarikat (AS) dari Florida atas tuduhan terlibat dengan filem anti-Islam Innocence of Muslims.
Mereka akan dibicarakan atas tuduhan terlibat dengan filem tersebut yang telah mencetuskan rusuhan di dunia Islam.
Kes itu, bagaimanapun disifatkan agak simbolik kerana tujuh lelaki dan seorang wanita yang membintangi filem itu dipercayai tinggal di luar Mesir dan mungkin mereka tidak akan pulang bagi menghadapi tuduhan itu.
Keputusan pendakwa raya itu dilihat bagi meredakan kemarahan rakyat negara ini terhadap filem amatur itu yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang penipu, kaki perempuan dan pelawak di YouTube.
Dalam perkembangan lain, rusuhan bagi membantah penyiaran filem anti-Islam itu terus diadakan di seluruh dunia, hari ini.
Di Jalalabad, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan raya di timur Afghanistan dan menyekat sebatang jalan utama ke Kabul, hari ini.
Penunjuk perasaan kebanyakannya pelajar universiti melaung-laungkan ''Pergi Mati Amerika'' dan ''Mati kepada Musuh Islam''.
Di Medan, konsulat AS di bandar ketiga terbesar di Indonesia itu ditutup sementara ekoran bantahan terhadap filem anti-Islam itu yang masuk hari ketiga.
Kira-kira 300 ahli kumpulan Hizbut Tahrir mengadakan demonstrasi di hadapan konsulat AS diikuti kira-kira 50 pelajar Islam yang menggesa Amerika menghukum pembuat filem itu.
Di Islamabad, beratus-ratus peguam yang membantah penyiaran video anti-Islam turut mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara Pakistan itu menghala ke kawasan yang menempatkan kedutaan AS dan lain-lain negara.
Mereka melaungkan slogan anti-Amerika dan membakar bendera negara itu sambil menolak pintu pagar bangunan kedutaan AS sebelum mereka dihalang oleh polis.
Peguam itu juga menggesa Duta AS diusir dari Pakistan sebelum bersurai secara aman. - AGENSI

No comments:

Post a Comment