Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkritik tindakan sesetengah akhbar yang hanya mempertikaikan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mengenai hudud dan pendirian parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

Sedangkan kata beliau, akhbar-akhbar berkenaan tidak mempertikaikan pendirian Umno yang tidak mahu meminda Perlembagan Persekutuan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, hukum hudud bergantung kepada Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai oleh "Kerajaan Umno", yang dilaporkan bertentangan dengan hukum tersebut.

"Selepas mesyuarat Exco pagi tadi, saya ditanya tentang kenyataan Karpal Singh yang dilaporkan berkata hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perlembagaan.

"Tapi saya rasa sekarang Umno yang berkuasa hari ini dan menghalang hudud ialah Umno," kata beliau menerusi laman sosial Facebook semalam, mengulas perkembangan terbaru polemik pelaksanaan hukum hudud.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan Karpal memberi amaran dengan pendirian Nik Aziz yang akan tetap mahu melaksanakan hudud dan bakal memberi kesan tidak baik kepada pembakang pada pilihan raya umum akan datang.

"Pas akan diberi nasihat secara mendalam agar mematuhi peruntukan Perlembagaan yang telah diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya sebagai reaksi segera kepada pendirian baru Nik Aziz.

Justeru, Nik Aziz menambah jika Perlembagaan Persekutuan sendiri bertentangan dengan hudud, ia sendiri perlu dipinda.