Seorang penunjuk perasaan Pakistan melempar gas pemedih mata ke arah polis antirusuhan semasa satu demonstrasi membantah penerbitan filem anti-Islam dan kartun Nabi Muhammad di Islamabad, Pakistan, semalam. - AFP |
Berpuluh-puluh ribu orang berhimpun di jalan-jalan raya di seluruh negara, selepas kerajaan mengisytiharkan cuti umum bagi membolehkan orang ramai membuat bantahan.
Kawalan keselamatan di seluruh Pakistan turut diperketatkan dengan kedai dan premis perniagaan ditutup, manakala jalan raya yang biasanya sibuk menjadi lengang selepas semua parti politik utama dan pemimpin agama menggesa tunjuk perasaan sepanjang hari diadakan.
Di bandar Peshawar, barat laut Pakistan, penunjuk perasan yang berang bertindak membakar dua panggung wayang.
Ketua Hospital Lady Reading di sini, Mukhtar Khan berkata, empat lelaki termasuk seorang pemandu sebuah saluran televisyen swasta maut akibat ditembak dalam rusuhan tersebut.
Pegawai polis Gohar Ali berkata, ramai orang turut cedera apabila seorang pengawal keselamatan melepaskan tembakan ketika penunjuk perasaan yang bersenjatakan belantan dan kayu buluh menyerbu panggung wayang Firdaus dan memecahkan serta membakar perabot.
Menurut saksi, sekumpulan perusuh turut menyerang panggung wayang Shama di bandar itu dengan memecahkan tingkap dan membakarnya.
Di Karachi, 12 maut selepas terkena tembakan rambang dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis.
Di Indonesia, beratus-ratus penduduk Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Kedutaan Perancis bagi membantah penyiaran filem tersebut serta kartun menghina Nabi Muhammad dalam sebuah majalah Perancis.
Dalam pada itu, sejumlah pelajar Islam di Thailand, hari ini mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan AS sebelum menyerahkan surat bantahan kepada pegawai kedutaan tersebut.
Di Tunisia, pihak berkuasa negara itu menggunakan kuasa darurat untuk mengharamkan semua demonstrasi hari ini.
Kedutaan-kedutaan Barat di seluruh negara Arab turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap tinggi ekoran kebimbangan bantahan ganas baru tercetus berhubung filem dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad. - AFP/REUTERS
No comments:
Post a Comment