Wednesday, October 3, 2012

Royalti: Mahkamah Persekutuan benar Kelantan merayu



Nazri Abdullah, 03 Okt 2012

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan rayuan terhadap tiga tuntutan yang ditolak Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Tuntutan itu adalah memohon agar mahkamah menolak permohonan Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah serta memohon mahkamah menolak permohonan Petronas membatalkan saman kerajaan negeri.



Satu lagi tuntutan adalah memohon penzahiran dokumen keputusan penyelesaian kes saman Kerajaan Terengganu terhadap Petronas sebelum ini.



(Gambar: Datuk Ahmad Yakub megimamkan solat sunat syukur selepas keputusan diumumkan)



Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang mendengar kes itu kira-kira jam 9 pagi ini.

Terdahulu, pasukan Konvoi Royalti Kelantan tiba di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya seawal jam 7.30 pagi ini bagi mendengar keputusan hari ini.

Mereka malam tadi berhimpun di Dataran Shah Alam dalam program Ceramah Mega Royalti yang dihadiri pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tinjauan Harakahdaily pagi ini mendapati hampir 600 orang dengan berpakaian merah bertulis 'Tuntut Royalti', dan 'R' berkumpul di pekarangan bangunan mahkamah.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Abdul Fatah Mahmod, Datuk Anwar Tan, Dr Mohd Fadhli Hassan, Baihaqi Atiqullah, Che Abdullah Mat Nawi, Wan Ubaidah Wan Omar dan kepimpinan yang lain.

Bercakap kepada peserta konvoi di luar mahkamah selepas itu, Husam berkata keputusan hari ini memberi petanda awal bahawa 'pintu gol lawan sudah ditembusi'.

"Kita bukan sahaja bagi hak kepada Petronas hisap minyak, tetapi juga mebuat explorasi telaga baru.

"Tuan rumah masih kerajaan negeri, Petronas hanya pekerja upahan kita. Bila kita mintak, dia kata tak boleh bagi. Ini bagi kita tak logik," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali akan berkompromi dalam isu ini dan menolak cubaan membayar sebahagian sahaja wang royalti iaitu RM300 juta setahun untuk Blok PM301 tanpa sebarang tunggakan.

"Kita nak kesemua bayaran untuk keempat-empat telaga kita dengan jumlah tunggakan RM10.4 bilion," tegasnya.



Sementara itu, Pengerusi 'R' Nazri Deraman berkata, pihaknya juga akan menyerahkan refrendum 150,000 tandatangan rakyat Kelantan ke Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.



Selain itu, konvoi R juga katanya akan berhenti di bangunan Petronas KLCC utnuk menyerahkan memorandum tuntutan royalti kepada pihak itu.
 

No comments:

Post a Comment