YANGON - Presiden Myanmar tidak membenarkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membuka sebuah pejabat, yang bertujuan membantu minoriti umat Islam Rohinghya di wilayah barat negara itu.
Kenyataan laman web Pejabat Presiden menyebut bahawa kewujudan pejabat sedemikian tidak selari dengan kehendak rakyat.
"Kerajaan tidak akan membenarkan pembukaan sebuah pejabat OIC kerana ia tidak selari dengan kehendak rakyat," kata kenyataan.
BBC memetik OIC berkata pihaknya belum lagi dimaklumkan mengenai keputusan presiden.
Pembukaan pejabat itu juga menerima protes sami Buddha.
"Kami tidak boleh menerima pejabat PIC di sini," kata Oattamathara, seorang sami Buddha yang mengetuai protes di  Mandalay, dipetik agensi berita AFP.
Protes dihadiri sekitar 3,000 orang semalam juga diadakan di sini.
OIC berada di negara itu untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh minoriti umat Islam.
OIC mengambil usaha membantu susulan mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar di Astana, Kazakhstan Jun tahun lepas.
Awal bulan lalu, OIC menghantar misi mencari fakta ke Myanmar untuk menyiasat beberapa kejadian keganasan baru-baru ini yang membawa kepada majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Myanmar.
Misi 10 hari itu juga menyaksikan penubuhan Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan OIC di Naypyitaw dan satu lagi pejabat di kawasan yang terjejas di mana minoriti Islam Arakan tinggal.