Harakahdaily, 16 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Program Subsidi Beras di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPDIAT) untuk memastikan penyaluran beras Beras Super Tempatan kepada golongan yang berpendapatan rendah dikritik hebat oleh Ketua Audit Negara (KAN) kerana gagal mencapai matlamat dan tiada pemantauan sehingga beras yang disubsidikan didapati dijual di pasaran terbuka.
Beras subsidi dijual di luar pasaran
Lawatan Audit telah dibuat ke 4 negeri iaitu Kedah, Perak, Sarawak dan Selangor untuk melihat pelaksanaan program subsidi beras telah mendapati 4 pemborong tidak mengemukakan akaun harian stok dan seorang pemborong tidak mengemaskinikannya.
Sebuah premis pemborong di Kamunting, Taiping, Perak mendapati lesen yang tidak dipamerkan, akaunnya diselenggara di tempat lain, tanpa papan tanda syarikat dan tiada punca kuasa elektrik.
“Pihak Audit tidak dapat memastikan kesahihan operasi pengampitan dijalankan di bangunan tersebut kerana semasa lawatan didapati tiada punca kuasa elektrik di dalam bangunan tersebut dan mesin untuk mengampit diikat dengan tali,” kata Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan audit 2011 yang dikeluarkan semalam.
Lebih buruk lagi, KAN juga mendapati beras subsidi dijual di pasaran terbuka di pasaraya Sri Aman, Sarawak dan Semenyih di Selangor.
“Ini membolehkan semua golongan pengguna termasuk warga asing dan pengusaha makanan memperoleh beras tersebut tanpa kawalan dan seterusnya menikmati subsidi yang diberikan oleh Kerajaan,” tambahnya.
KAN juga kesal tiada pemantauan yang dilakukan oleh KPDIAT ke atas Program Subsidi Beras. Semakan Audit mendapati hanya satu mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pemborong tetapi tidak terjumpa minit mesyuarata, manakal tahun 2011 satu mesyuarat Jawatankuasa Kuota Beras Subsidi telah diadakan pada 3 Oktober 2011.
Tiada garis panduan untuk memilih pemborong
KPDIAT juga dikritik KAN kerana tidak menyediakan garis panduan yang jelas dan komprehensif untuk mencapai objektif Program Subsidi Beras.
KAN juga membidas KPDIAT gagal untuk memperincikan proses pemilihan pemborong untuk memastikan proses pemilihan dibuat dengan telus dan mengambil kira keupayaan pemborong.
Selain itu, semakan audit juga mendapati tiada perjanjian ditandatangani antara KPDIAT dengan pemborong bagi Fasa I dan II. Hanya Surat Setuju Terima pelantikan sebagai pengedar beras subsidi dikeluarkan kepada pemborong bagi Fasa I.
Surat Setuju Terima, kata KAN juga mengandungi kelemahan kerana didapati tidak menyatakan dengan jelas klausa tindakan yang boleh dikenakan sekiranya pemborong melakukan kesalahan.
“Pada pendapat Audit, Kementerian hendaklah memastikan perjanjian disediakan dan ditandatangani dalam tempoh yang ditetapkan bagi menjamin kepentingan kerajaan,” kata KAN.
Tidak mencapai matlamat
Program Subsidi Beras yang diluluskan kabinet pada 2008 telah diberikan kepada Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) Dan Pengilang Padi Swasta bagi pengeluaran Beras Super Tempatan ST15% untuk Semenanjung Malaysia dan Beras Import S15% untuk Sabah dan Sarawak dengan kandungan beras hancur 15%.
Ia bertujuan untuk memenuhi permintaan dan keperluan pengguna yang semakin meningkat serta mengekalkan harga kawalan beras subsidi dari RM1.65 per kg hingga RM1.80 per kg mengikut zon di peringkat pengguna; dan juga menampung kerugian pengilang untuk mengeluarkan beras subsidi.
BERNAS bertanggungjawab untuk mengeluarkan beras, menentukan pengambilan beras sama ada di Kompleks BERNAS atau (kilang bumiputera di bawah Program Pusat Belian) SPB, mengagihkan beras kepada pemborong dan membuat tuntutan bayaran.
“Pengauditan yang dijalankan antara bulan September 2011 hingga Januari 2012 mendapati objektif Program Subsidi Beras belum dicapai sepenuhnya di mana tiada satu mekanisme diwujudkan bagi memastikan golongan sasar yang ditetapkan mendapat manfaat daripada program ini,” kata KAN.
Sasaran pengeluaran beras subsidi, kata KAN gagal dicapai sepenuhnya di mana prestasi pengeluaran beras subsidi bagi Semenanjung Malaysia bagi tempoh bulan Januari hingga Mac 2009 (Fasa I) adalah tidak memuaskan kerana hanya mencapai 23.5% daripada sasaran yang ditetapkan 94,000 metrik tan.
Bagaimanapun prestasi tersebut meningkat dari tempoh bulan April 2009 hingga Disember 2011, di mana pengeluaran adalah 34,929 mt (metrik tan) untuk Semenanjung Malaysia dan 16,156 mt sebulan untuk Sabah dan Sarawak, namun ia tetap gagal mencapai sasaran 40,000 mt untuk Semenanjung dan 20,000 untuk Sabah dan Sarawak.
KPDIAT tidak cukup duit bayar BERNAS
Sejak Program Subsidi Beras dilaksanakan iaitu mulai bulan September 2008 hingga 2011, KAN berkata sejumlah RM1.828 bilion telah dibelanjakan daripada peruntukan sejumlah RM2.101 bilion.
Daripada itu, KAN mendapati daripada tuntutan berjumlah RM1.606 bilion yang dikemukakan setakat 31 Disember 2011 oleh BERNAS hanya sejumlah RM1.363 bilion (84.9%) telah dibayar oleh KPDIAT.
KPDIAT memberikan alasan bahawa peruntukan yang diterima tidak mencukupi untuk menjelaskan tuntutan subsidi beras oleh BERNAS.
Lebih teruk ialah KAN mendapati Ibu Pejabat KPB (Seksyen Kawalselia Padi dan Beras) tidak menyediakan daftar untuk merekodkan semua tuntutan yang diterima daripada BERNAS dan Pengilang Swasta.
“Dengan itu, tuntutan yang dikemukakan oleh BERNAS tidak dapat dipantau dan perancangan untuk pembayaran tidak dapat dilakukan secara tepat,” kata KAN.
No comments:
Post a Comment