bom kluster
Kumpulan pemerhati kemanusiaan menyelar tindakan tentera kerajaan menggugurkan bom berkenaan di kawasan penduduk awam.
DAMSYIK - Tentera kerajaan didakwa telah menggugurkan bom kluster (berangkai) buatan Rusia, di kawasan penduduk awam, semasa membalas serangan terhadap kumpulan pemberontak,  minggu lalu.

Menurut kumpulan pemerhati kemanusiaan, bom-bom itu digugurkan dari kapal terbang dan helikopter yang bertempur berhampiran lebuh raya utara-selatan arah barat laut Maarat Al-Numan.

Serangan balas terpaksa dibuat, apabila kumpulan pemberontak merampas Maarat Al-Numan yang dikawal ketat tentera Presiden Bashar Al-Assad pada minggu lalu, kemudian menyekat laluan utara Damsyik ke Aleppo.

Penggunaan bom kluster telah diharamkan lebih 100 buah negara pada Julai dan Ogos lalu tetapi, ia dilanggar tentera Syria apabila kerajaan bersungguh-sungguh mahu merampas semula kawasan yang dianggap strategik dalam barat laut itu.

Bahan letupan kluster digugurkan di sebuah kawasan luas kerana ia direka untuk membunuh seramai yang mungkin, namun kumpulan pemerhati kemanusiaan mendakwa tindakan tentera kerajaan menggugurkan bom berkenaan di kawasan penduduk awam adalah satu jenayah perang. -Al-Jazeera