Spielberg: Legenda dunia filem
Spielberg menunjukkan trofi anugerah Golden Globe dimenangi filem arahannya,The Adventures of Tintin bagi kategori Filem Animasi Terbaik, Januari lalu. Foto:EPA
Dalam dunia perfileman Hollywood, hanya beberapa nama boleh menjamin keuntungan sesebuah filem.

Tentu sekali, pengarah tersohor, Steven Spielberg adalah antara nama ini.

Spielberg diakui sebagai pengarah paling berjaya setakat ini. Filem arahannya begitu popular dan menghiburkan sehingga orang ramai akan menyaksikan apa sahaja filem yang datang bersama nama Spielberg.

Beliau dilahirkan sebagai Steven Allan Spielberg pada 1946. Bapanya, Arnold, bekerja sebagai jurutera elektrik yang terlibat dalam pembuatan komputer.

Manakala ibunya, Leah, adalah pemain piano. Anak sulung dan satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Arcadia, di mana cintanya terhadap filem mula tumbuh mekar.

Ketika berumur 12 tahun, Spielberg menghasilkan filem amatur pertamanya, iaitu filem pendek berdurasi lapan minit bertajuk The Last Gun. Beliau mengenakan caj kepada rakan yang ingin menyaksikan filem itu di rumahnya.

Pada umur 14 tahun, Spielberg menghasilkan filem perang berdurasi 40 minit, Escape To Nowhere dan sebuah lagi filem pendek, Battle Squad di mana beliau menggabungkan rakaman Perang Dunia Kedua dengan rakamannya sendiri.

Walaupun masih muda, Spielberg telah belajar bagaimana untuk membuat kapal terbang yang tidak bergerak kelihatan seperti sedang terbang dalam kelajuan tinggi.

Dua tahun selepas itu, beliau meneruskan minatnya dengan menghasilkan filem sains fiksyen Fireflight selama 140 minit.

Filem itu dihasilkan berdasarkan cerita ditulis adiknya, Nancy mengenai serangan UFO. Selepas itu, seperti diketahui peminatnya, Spielberg kerap menghasilkan filem bertema perang dan makhluk asing.

Setiap filem Spielberg juga mempunyai elemen emosi yang kadang kala menggambarkan kehidupan beliau sendiri.

Kebanyakan filem arahannya menunjukkan kanak-kanak dalam keadaan tertekan dan watak bapa yang tidak mesra dengan anak.
Ini menggambarkan hubungan Spielberg dengan bapanya sendiri. Selepas ibu bapanya bercerai, Spielberg tidak bertemu dengan bapanya selama 15 tahun.

Walaupun meminati filem, Spielberg pernah dua kali menolak tawaran mengikuti kursus perfileman berprestij di Universiti Southern California.

Sebaliknya beliau belajar Kesusasteraan Inggeris di Universiti California State sebelum memasuki dunia pembikinan filem secara tetap.

Ketika memulakan kerjayanya, beliau menjadi antara pengarah drama televisyen paling muda diterima bekerja untuk syarikat penerbitan Universal Studios pada akhir 1960-an.

Drama televisyen arahannya, Duel yang disiarkan pada 1972 melonjakkan lagi nama Spielberg dan membuka peluangnya untuk mengarah filem.

Bermulalah perjalanan seorang pengarah filem sehingga beliau dikenali di seluruh dunia.Filem arahannya menyentuh pelbagai aspek kehidupan, termasuk ketakutan, seperti filem Jaws (1975) atau kekaguman terhadap dunia dan misteri alam, seperti Close Encounters of the Third Kind (1977) dan ET (1982).

Spielberg juga mengarah filem diadaptasi daripada buku, seperti The Color Purple (1985) dan Empire of the Sun (1987) serta menghiburkan penonton di seluruh dunia dengan pengembaraan hero ciptaan beliau, Indiana Jones, yang kini telah masuk siri keempat.

Selain itu, daya imaginasi tinggi Spielberg dapat disaksikan dengan penghasilan filem luar biasa seperti Peter Pan, Jurassic Park (1993), dan sambungannya, The Lost World: Jurassic Park (1997).

Filem sejarah pertama arahannya, Schindler’s List (1993) memenangi tujuh Anugerah Oscar, termasuk kemenangan pertama Spielberg sebagai Pengarah Terbaik.

Syarikatnya, Amblin Entertainment yang ditubuhkan pada 1982 terus menghasilkan beberapa lagi filem, dengan paling diingati adalah siri Back to the Future (1985) dan Who Framed Roger Rabbit (1988).

Pada 2001, beliau menghasilkan filem sains fiksyen AI: Artificial Intelligence, diikuti Munich (2005) yang dicalonkan untuk Oscar. Spielberg juga menjadi penerbit bagi dua filem arahan pelakon veteran Clint Eastwood, Flags of Our Fathers (2006) dan Letters from Iwo Jima (2006).

Terbaru, filem arahan Spielberg, War Horse (2011) menerima pujian paling hebat sepanjang kariernya, dan filem itu mendapat enam pencalonan Oscar.

Bulan depan, Spielberg akan menerbitkan satu lagi filem, Lincoln mengenai Presiden AS, Abraham Lincoln. Untuk projek akan datang, Spielberg dikatakan akan menghasilkan sambungan filem lamanya yang mendapat sambutan hangat, dengan ada yang menjangka beliau akan mengarahkan filem baru Jurassic Park atau filem kelima Indiana Jones.

Apa pun karya Spielberg selepas ini, hanya satu yang pasti: Penonton pasti akan terhibur.


PROFIL

Nama: Steven Spielberg
Tarikh lahir: 18 Disember 1946
Umur: 66 tahun
Tempat lahir: Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat
Ketinggian: 5’ 7”
Anugerah: 3 Anugerah Akademi (Oscar), 2 BAFTA, 3 Golden Globe

TRIVIA

Spielberg menghidap masalah keupayaan belajar dyslexia namun tidak menyedari perkara itu sepanjang hidupnya.
Beliau hanya dikesan menghidap masalah itu, lima tahun lalu.

Menurutnya, beliau mengambil masa lebih dua tahun untuk belajar membaca. “Saya mengatasi masalah ini dengan membuat filem,” katanya